Royalti minyak: Terengganu kaji lebih mendalam

in Edisi Terengganu by


MARANG – Kerajaan negeri akan mengkaji secara lebih mendalam keputusan Kerajaan Persekutuan memberi royalti 20 peratus kepada negeri pengeluar petroleum berdasarkan keuntungan diperoleh daripada negeri itu.


Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pada awalnya Terengganu bersetuju jika pemberian royalti itu terus kepada kerajaan negeri untuk digunakan bagi pembangunan negeri dan menjaga kepentingan rakyat.


“Dan itu juga yang disebut perdana menteri (sebelum ini) bahawa ia akan dibayar kepada kerajaan negeri dan kerajaan negeri seharusnya menggunakannya untuk kepentingan rakyat dan bukan parti.


“Bagaimanapun jika perdana menteri umum untuk beri royalti 20 peratus berdasarkan keuntungan syarikat pengeluar minyak mengikut negeri, agihan hasil boleh jadi kurang atau lebih daripada yang kita kira sebelum ini.


“Oleh itu, sebelum membuat sebarang keputusan, kita akan tengok balik dengan lebih jelas lagi mana yang akan mendatangkan keuntungan kepada Terengganu,” katanya ketika ditemui media, di sini malam kelmarin.


Beliau ditemui selepas Majlis Kutipan Dana Pendidikan di Dewan Tok Guru di Rusila di sini. Hadir sama, Speaker Dun Terengganu, Yahaya Ali.


Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengulas mengenai pemberian royalti berdasarkan jumlah keuntungan yang diperoleh membabitkan negeri-negeri pengeluar minyak berkenaan.


Pada persidangan Dewan Rakyat 19 pada Julai lepas, Dr Mahathir berkata kerajaan PH komited bagi merealisasikan janjinya yang terkandung dalam manifesto PRU14.


Ia termasuk pemberian royalti 20 peratus kepada negeri pengeluar petroleum di Malaysia.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]