Siasatan kes kebakaran tangki minyak selesai Ogos

in Edisi Terengganu by


MARANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjangkakan siasatan penuh kebakaran tangki simpanan minyak mentah milik Kemaman Bitumen Company (KBC) di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong di Kemaman selesai akhir Ogos ini.


Ketua Pengarah JBPM, Mohamad Hamdan Wahid berkata, kes berprofil tinggi seperti itu memerlukan lebih tumpuan dan siasatan penuh punca kebakaran itu dijangka selesai dalam tempoh 45 hari.


Menurutnya, pihak JBPM Bahagian Forensik Siasatan Kebakaran masih lagi menganalisis punca-punca kebakaran yang mana akan mengambil sedikit masa.


“Ia melibatkan satu penyiasatan rapi memandangkan kebakaran cukup besar. Mungkin sedikit (masa) untuk membuat rumusan tentang puncanya, kebakaran besar juga menyebabkan kesukaran mencari bukti.


“Tetapi kita percaya dengan keupayaan yang ada pada Bahagian Siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat dapat mengenal pasti punca dan akan merumuskan laporan eksekutif tersebut,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan Siri 1/2018 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wilayah Timur di Wakaf Tapai di sini, hari ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: Tangki minyak KBC terbakar]


[ARTIKEL BERKAITAN: Kebakaran tangki minyak: Seorang dilaporkan cedera]


[ARTIKEL BERKAITAN: Tiga tangki terbakar padam sepenuhnya]


Mengulas lanjut, Mohamad Hamdan berkata, laporan siasatan itu nanti akan dikemukakan kepada pihak berkenaan termasuk pihak membuat tuntutan dan insurans.


Katanya, pihaknya juga akan mengambil tindakan undang-undang menerusi akta yang ada sekiranya kemungkinan kebakaran tersebut dikesan berpunca daripada kecuaian kerja-kerja penyelenggaraan.


“Undang undang tidak kira (siapa), sekiranya pesalah itu didapati ada unsur kecuaian boleh menyebabkan satu musibah, kecederaan atau kematian, kita akan gunakan lunas undang-undang yang ada,” katanya.


Insiden kebakaran terburuk dalam sejarah perindustrian di negeri Terengganu itu berlaku pada 5 Julai lalu dan ia hanya berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh hampir 49 jam.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]