Tak mimpi harga getah RM8.50 sekilogram

in Edisi by


PASIR PUTEH – Penoreh getah di Kampung Kandis, Gaal dekat sini, tidak akan bermimpi harga getah mencapai RM8.50 sekilogram seperti yang dinikmati enam tahun lalu.


Pauzi Mohd Noor, 61, berkata, walaupun ada berlaku kenaikan harga tetapi mustahil ia mencapai tahap tersebut.


Katanya, harga terkini adalah RM2.30 sekilogram, meningkat 40 sen berbanding Januari lalu.


“Tak mimpi untuk capai RM8.50 sekilogram seperti dulu tapi apa nak buat, inilah sahaja mata pencarian saya untuk menyara keluarga.


“Kalau cuaca baik boleh dapat RM250 seminggu, tapi sekarang cuaca tak menentu yang menyebabkan penoreh getah terhimpit,” katanya yang mengusahakan sehektar pokok getah.


Pauzi berkata, sekarang ini musim pokok mengeluarkan getah yang banyak tetapi penoreh tidak mampu meraih pendapatan lumayan.


Selepas ini katanya, akan datang musim daun meluruh di mana getah akan berkurangan.


“Mahu tak mahu kena menoreh juga, saya harap kerajaan buat sesuatu agar harga melonjak dengan cepat,” katanya yang juga bapa kepada enam anak berusia 6 hingga 27 tahun.


Katanya, isterinya, Siti Zamani Setapa, 50, yang merupakan suri rumah memahami situasi tersebut.


“Dengan harga getah serendah ini  macam mana saya nak biayai persekolahan anak-anak, kami sekeluarga ni kira cukup-cukup makan saja,” katanya.


Menurutnya, sama ada getah dijual terus ke kilang atau lori pemborong, harganya tetap sama.

 


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]