Tunjuk bukti jika benar Wahabi: Aminuddin

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jemaah (Aswaja), Dr Zamihan Mat Zin diminta mengemukakan bukti kukuh jika benar Penasihat Agama Islam Negeri Sembilan, Jaafar Muhammad adalah pengikut fahaman Wahabi.


Menerusi laman Facebooknya, pendakwah berkenaan mengeluarkan kenyataan bersifat spekulasi dengan menimbulkan persoalan ‘penasihat agama Wahabi ke? Lepas ini bolehlah merancang untuk menyenaraikan tokoh-tokoh Pak Wahhab menyandang jawatan penting di agensi agama N9’.


Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, kenyataan sebegitu tanpa ada sebarang fakta dan bukti hanya akan merosakkan perpaduan masyarakat Islam khususnya di negeri ini.


“Bagi saya, ia satu tuduhan tidak bertanggungjawab kerana tanpa ada fakta dan bukti kukuh. Saya sangat mengenali Jaafar dan setahu saya tiada pula perbuatannya yang cenderung kepada pengikut fahaman Wahabi.


“Saya tak tahu apa yang dimaksudkan Zamihan yang mengajukan persoalan Jaafar itu dikata sebagai Wahabi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Majlis Mesra Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Klana Putra Lenggeng di sini, semalam.


Menurutnya, sebelum dilantik sebagai penasihat agama, pihaknya turut menyemak latar belakang dan mengambil kira pengalaman Jaafar yang juga mempunyai tauliah mengajar dan memberikan ceramah di negeri ini.


Mengulas lanjut Aminuddin berkata, jika wujud perbezaan pandangan sekalipun ia haruslah dibincangkan secara baik dan bukannya menggunakan media sosial atau Facebook untuk mengeluarkan kenyataan.


Untuk rekod, Majlis Fatwa Kebangsaan mengisytiharkan Wahabi sebagai tidak sesuai diamalkan di negara ini


Ditanya berkenaan keresahan sebahagian masyarakat Islam tentang masa depan agama itu di negara ini di bawah pemerintahan PH, Aminuddin berkata, rakyat tidak sewajarnya cepat menghukum kerajaan.


“Dalam perlembagaan sudah termaktub agama Islam sebagai agama rasmi. Jadi, apa lagi yang perlu dibimbangkan. Bagi saya persepsi sebegitu hanya akan mendatangkan kesan buruk sedangkan kerajaan baru saja berjalan dengan baik,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]