Warga emas rayu bantuan bina semula rumah

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


MELAKA TENGAH – “Kalau boleh pakcik nak lihat rumah yang musnah terbakar didirikan semula,” itu luahan warga emas, Md Yasin Sulaiman, 75, apabila rumahnya di Lorong 13, Kampung Bukit Duyong, Ayer Molek, terbakar, Rabu lalu.


Menurutnya, ketika kejadian, dia bersama isteri, Alimah Idris, 71, serta dua anak ada di rumah sebelum dikejutkan dengan kejadian itu kira-kira jam 1.15 petang.


“Mujur ketika itu salah seorang anak ada datang dan dialah yang sedar kejadian itu kemudian memanggil orang ramai meminta pertolongan.


“Orang ramailah yang bantu selamatkan kami termasuk isteri yang sedang terlantar akibat angin ahmar.


“Kini pak cik bersama isteri terpaksa tinggal menumpang di rumah saudara dan berharap kerajaan bantu dirikan semula rumah kami yang musnah terbakar,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika dikunjungi barisan kepimpinan Umno Bahagian Kota Melaka yang terdiri daripada Ketua Umno Bahagian, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Timbalan Ketua Umno Bahagian, Datuk Ibrahim Fadzil; Ketua Pemuda Bahagian, Mohd Noor Helmy Abdul Haleem dan Naib Ketua Wanita Bahagian, Norhayati Janudin.


Menurut Mohd Noor Helmy, program lawatan Ziarah Kasih tersebut atas keprihatinan barisan kepimpinan Umno terhadap masyarakat yang ditimpa kesusahan di dalam kawasan tersebut.


“Kami menyampaikan beberapa sumbangan termasuk daripada kutipan derma yang dilakukan oleh beberapa sayap parti seperti Pemuda dan Wanita.


“Harapan kami, dengan sumbangan ini dapat meringankan beban dan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh keluarga ini yang sudah kehilangan rumahnya dalam kejadian tersebut,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]