Zawawi fokus pembangunan masyarakat

in Politik by


KOTA RAJA – Calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menyatakan kesediaan untuk memberi fokus terhadap pembangunan masyarakat berteraskan prinsip agama sekiranya dipilih dalam PRK Dun Sungai Kandis, 4 Ogos depan.


Menurut beliau, masyarakat di kawasan ini perlu dibangunkan secara holistik tanpa mengira aspek kebendaan dan kecemerlangan akademik semata-mata.


“Hari ini, kita melihat perubahan terlalu pantas dan kalau tak diterapkan nilai kerohanian dan teras kekuatan, anak jati bangsa kita akan mudah terjebak dengan gejala sosial, penyalahgunaan dadah dan jenayah,” katanya ketika Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Utama (BGU) PRK Sungai Kandis, hari ini.


Selain itu, Zawawi turut menyasarkan untuk memberi fokus terhadap pembangunan infrastruktur di kawasan ini demi kemajuan masyarakat setempat pada masa hadapan.


Beliau berkata, terdapat beberapa aduan masyarakat yang boleh ditangani dengan segera sekiranya mendapat kerjasama daripada semua pihak.


“Terdapat beberapa permasalahan telah ditangani oleh penyandang kerusi Dun Sungai Kandis, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei sebelum ini namun selepas persempadanan semula terdapat beberapa daerah baharu yang dimasukkan.


“Kita akan meneliti beberapa perkara yang menjadi keluhan penduduk seperti masalah banjir, longkang sumbat dan jalan,” katanya.


Dalam pada itu, mengulas mengenai pelancaran BGU berkenaan, Pengarah PRK Sungai Kandis, Amirudin Shari berkata, buat masa ini, PKR mempunyai sebanyak 20 bilik gerakan di seluruh Dun Sungai Kandis yang turut sama digabungkan dengan urus setia daripada Pakatan Harapan (PH).


“BGU ini telah beroperasi lebih seminggu dan lokasinya juga tidak asing lagi dengan penduduk di sini kerana ia sebelum ini digunakan oleh Allahyarham Shuhaimi,” katanya.


Di samping itu, Amirudin menegaskan bahawa PKR akan berkempen secara gentleman pada PRK Dun Sungai Kandis kali ini dan tidak menggunakan mana-mana agensi kerajaan bagi tujuan tersebut.


Amirudin berkata, pihaknya juga tidak akan mencampur-adukkan jawatannya sebagai menteri besar dengan pergerakan parti.


“Hentikanlah status saya sebagai menteri besar bila saya turun (Dun Sungai Kandis).


“Jangan takut saya adalah ahli dan pemimpin Harapan. Sedia bertarung dengan cara baik dan tidak akan beri duit dan cendera hati (goodies) kepada pengundi,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]