Tedung selar nyaris masuk rumah

in Edisi Terengganu by


KUALA NERUS – Sebuah keluarga di Kampung Pak Tijah, Seberang Takir, di sini, berdepan detik cemas apabila ular tedung selar sepanjang kira-kira lima meter hampir memasuki rumah mereka, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, salah seorang daripada ahli keluarga berkenaan menyedari kehadiran haiwan berbisa seberat lebih 15 kilogram itu berada di luar rumah mereka.


Malah, salah seorang ahli keluarga berkenaan juga turut sempat merakam video sebelum segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk meminta bantuan kerana bimbang dengan keselamatan.


Pegawai Pasukan APM Kuala Nerus, Leftenan Muda (PA) Nurulhaida Md Rashid berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan itu, satu pasukan penyelamat terdiri daripada empat anggota digerakkan ke lokasi kejadian.


“Setibanya di lokasi kejadian, keluarga berkenaan memaklumkan ular berbisa itu telah masuk ke kawasan timbunan barangan lusuh.


“Berbekalkan kemahiran dan kepakaran anggota yang sememangnya telah terlatih, pasukan kami mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap ular berkenaan.


“Ketika ditangkap keadaan ular agak agresif, namun operasi berkenaan berjaya diselesaikan tanpa sebarang insiden tidak diingini,” katanya ketika ditemui di pejabat APM Terengganu, di sini, hari ini.


Katanya, dalam menangani kes haiwan berbisa sedemikian kemahiran dan kepakaran merupakan asas yang penting.


Sementara itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa memastikan kawasan luar dan dalam keadiaman sentiasa bersih bagi mengelak kehadiran haiwan berbisa.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]