Wui sambut baik jaminan kerajaan laksana al-Quran dan sunnah

in Nasional by


SHAH ALAM – Warisan Ummah Ikhlas (Wui) menyambut baik jaminan kerajaan untuk melaksanakan ajaran Islam di negara ini berpandukan kepada al-Quran dan al-sunnah.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Marhaini Yusof berkata, apa yang mahu dilaksanakan kerajaan itu adalah satu peluang yang terbuka luas untuk masyarakat Islam di negara ini berinteraksi dengan menggunakan al-Quran dan al-sunnah dalam apa jua urusan.


Katanya, apabila menyebut perihal baca, faham dan amal al-Quran, ia sebenarnya tidak lari daripada al-Quran dan al-sunnah itu sendiri yang perlu dibawa dalam konteks ini.


“Ia dilihat selari dengan usaha di bawah Rumah Ngaji dan World Quran Hour.


“Selama ini usaha yang dilakukan untuk berinteraksi dengan al-Quran iaitu baca, faham dan amal maknanya kita mahu membawa intipati dan panduan al-Quran dan al-sunnah dalam agenda syarikat,” katanya kepada Sinar Harian.


Menurutnya, pihaknya tidak mahu al-Quran itu sekadar dibaca sahaja, sebaliknya sekarang ini pihaknya sedang mengusahakan supaya menjadikan al-Quran itu sebagai solusi dan penyelasaian dalam pengurusan dan masalah yang ada ada dalam organisasi.


[ARTIKEL BERKAITAN:  PM beri jaminan kerajaan laksana ajaran Islam sebenar]


Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Rumah Ngaji berkata, pihaknya mahu membawa seberapa banyak ayat suci al-Quran sebagai penyelesaian kepada masalah yang melibatkan integriti dan perpaduan. 


“Bukan hanya melibatkan jabatan integriti dan perpaduan tetapi juga kepada mana-mana jabatan dan organisasi lain.


“Peluang ini adalah perkembangan yang positif kerana apabila kerajaan sendiri memberi jaminan melaksanakan ajaran Islam  di negara ini berpandukan al-Quran dan al-sunnah ia adalah sesuatu ditunggu,” katanya.


Menurutnya, apabila dalam setiap urusan berpandukan al-Quran dan al-sunnah, maka kehidupan umat Islam akan menjadi mudah dan dipermudahkan ALLAH SWT.


Tambahnya, al-Quran mahu pun al-sunnah adalah tunjang utama dalam pembentukan sebuah negara Islam dan ia juga akan melahirkan masyarakat Islam yang bertakwa.


Kelmarin, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataannya berkata, kitab al-Quran adalah panduan terbaik buat seluruh umat Islam.


Katanya, umat Islam mampu menyelamatkan agama, umat dan negara Islam kepada al-Quran dan mengamalkan panduan hidup yang tertulis dalamnya.


Menurutnya, kerajaan memberi jaminan melaksanakan ajaran Islam di negara ini berpandukan al-Quran.




 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]