Elak berlaku perkahwinan singkat: Exco

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Silibus dalam kursus perkahwinan di negeri ini akan diperhalusi bagi memastikan individu yang ingin berkahwin mengetahui tanggungjawab serta amanah yang perlu dipikul selepas berkahwin.


Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, pihaknya akan meneliti semula kandungan silibus kursus berkenaan bagi mengelakkan berlakunya perkahwinan jangka pendek dan perceraian.


Menurutnya, disebabkan perkara itu beliau tidak mahu melihat perkahwinan jangka masa singkat atau penceraian berlaku.


“Dalam manifesto Pakatan Harapan Johor sendiri ada menawarkan perkahwinan berkelompok dan kursus perkahwinan percuma supaya elakkan daripada masalah pergaulan bebas dalam kalangan remaja.


“Sebab itu, kita galakkan perkahwinan tetapi dalam hal ini kerajaan negeri akan melihat semula. Justeru, kursus berkaitan perkahwinan akan dipertingkatkan serta diperhalusi bukan sekadar perkara-perkara asas mengenai perkahwinan tetapi membawa silibus lebih mendalam,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Istiadat Konvokesyen Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) Ke-18 di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor, semalam.


Hadir sama Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin.


Berkaitan perkahwinan membabitkan pasangan bawah umur terutama wanita berusia 16 tahun ke bawah dan lelaki 18 tahun ke bawah katanya, pihaknya juga akan memperketat bagi meluluskan permohonan berkenaan.


“Saya dimaklumkan perundangan meletakkan pasangan ingin berkahwin mengikut tahap umur ditetapkan iaitu lelaki 18 tahun dan 16 tahun bagi wanita.


“Sekira perkara ini menjadi syarat, kebenaran dari pihak majlis agama dan jabatan agama akan diperketat termasuk mengambil kira tahap kesediaan mereka berumah tangga dan menyara keluarga,” katanya.


Aminolhuda mencadangkan satu pangkalan data akan diwujudkan bertujuan menyimpan maklumat individu berkahwin di usia muda.


Khamis lalu, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia merekodkan 5,362 permohonan kebenaran nikah bawah umur kanak-kanak beragama Islam di seluruh negara sejak Januari 2013 hingga Disember tahun lalu.


Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 440 permohonan direkodkan di Johor dan 389 lagi di Kedah.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]