Hanipa cabar Zahid debat isu Sosma

in Nasional by


SHAH ALAM – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin menawarkan diri untuk berdepan dengan presiden Umno bagi menjelaskan kewajaran kerajaan membatalkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.


Menurutnya, melalui kaedah itu juga orang ramai dapat difahamkan mengapa PH memilih untuk menarik balik pelaksanaan akta yang turut dikenali sebagai Sosma itu.


“Selain mendidik masyarakat, ia juga dapat menghapuskan kekeliruan yang cuba ditonjolkan oleh ketua pembangkang berhubung isu Sosma,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno memandang serius langkah kerajaan untuk membatalkan Sosma yang digubal oleh BN sebelum ini.


Katanya, Sosma digubal semata-mata bertujuan menjaga ketenteraman awam daripada anasir yang boleh menggugat keselamatan negara.


“Sosma tidak langsung menyentuh soal politik individu.


“Antara elemen pentingnya ialah kesalahan yang menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau menyebabkan sebilangan besar warga takutkan keganasan, membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong dan memudaratkan ketenteraman dan keselamatan awam,” katanya.


[ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan akan mansuhkan Sosma]


Sosma ialah akta yang digubal di Parlimen bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dianggap mudah disalahgunakan oleh kerajaan.


Bagaimanapun kedua-dua akta tersebut dikecam kebanyakan parti kerana dilihat boleh dimanipulasikan untuk tujuan politik.


Ahli Parlimen Sepang itu berkata, PH sentiasa menghormati hak dan kebebasan Ahmad Zahid untuk menyatakan pandangannya termasuk dalam isu Sosma.


Kayanya, hak seseorang untuk bersuara memang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.


“Atas kapasiti rasmi saya sebagai timbalan menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang, Insya-ALLAH saya bersedia untuk berdebat ketua pembangkang berhubung isu Sosma tersebut.


“Saya yakin pihak media seperti RTM atau Astro Awani sedia menyiarkan perdebatan ini secara langsung di televisyen jika ketua pembangkang bersedia menyahut cabaran saya ini,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]