Jenazah bayi 4 bulan selamat disemadikan di Alor Bakat

in Edisi by


BACHOK – Jenazah bayi yang dikatakan tersedak susu di sebuah taska di Melaka semalam, Yusof Al Baihaqi Zainal Abidin, 4 bulan, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Alor Bakat jam 9.20 pagi tadi.


Bapa mangsa, Zainal Abidin Deraman, 34, berkata, urusan pengebumian berjalan lancar selepas mereka tiba di kampung halaman jam 9 pagi untuk  menguruskan pengebumian bayi tersebut.


Menurutnya, keputusan bedah siasat masih belum diketahui namun dikatakan ia berkemungkinan berpunca daripada jangkitan kuman dalam paru- paru.


“Saya nak cakap pun tak boleh sebab keputusan bedah siasat yang lengkap masih belum diperolehi tetapi dikatakan mungkin tersedak susu atau akibat jangkitan kuman dalam paru-paru. Tak ada kesan penderaan pada anak saya.


“Anak saya dihantar ke sana dalam keadaan sihat dan tak ada masalah kesihatan sebelum ini. Agak ralat juga sebab lapan tahun kami tunggu untuk dapatkan anak kedua tetapi berakhir begini. Namun saya tak salahkan pengasuh. Mereka taska berdaftar dan ia kes pertama berlaku di taska mereka,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah Yusof Al Baihaqi pagi tadi.


Isterinya, Roslina Ismail, 34, seorang guru masih bersedih dengan kejadian tersebut.


Difahamkan, anak sulung pasangan itu, Amni Batrisya, 8, turut dihantar ke taska itu untuk transit selepas waktu persekolahan.


Sebelum ini, bayi itu dijaga oleh mentuanya di Kota Bharu selama dua minggu.


Hari kejadian merupakan hari keenam kedua-dua anak mereka didaftarkan masuk ke taska berkenaan.


Selepas selesai bedah siasat jam 1 pagi di Jabatan Forensik Hospital Melaka, jenazah bayi itu dimandi dan dikafankan di Majlis Pengkalan Rama, Melaka sebelum mereka bergerak balik Kelantan jam 2 pagi.


Dalam kejadian pagi semalam, Yusof Al Baihaqi dihantar bapanya ke taska itu jam 7.30 pagi sebelum ibu bapa mangsa dimaklumkan guru taska mengenai kejadian kira-kira jam 11.45 pagi selepas mendapati muka bayi berkenaan bertukar kebiruan.


[Artikel berkaitan: Bayi lelaki empat bulan mati tersedak susu]


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]