Johor sedia tingkat bekalan air untuk Melaka

in Edisi Johor by


MUAR – Kerajaan Johor bersedia meningkatkan bekalan air kepada Melaka melalui Perjanjian Air Sungai Muar yang telah dimeterai oleh kedua-dua negeri sejak hampir tiga dekad.


Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, permintaan Kerajaan Melaka terhadap bekalan air sehingga 55 juta gelen sehari akan dipertimbangkan berdasarkan keperluan negeri ini terlebih dahulu.


Katanya, sehingga kini, Kerajaan Johor telah menyalurkan sebanyak 35 juta gelen bekalan air dalam tempoh sehari melalui Sungai Muar di Grisek kepada empangan Durian Tunggal, Melaka.


“Kita akan teliti permintaan berdasarkan kemampuan Johor untuk menyalurkan bekalan itu kerana perjanjian ini juga bergantung pada soal keperluan.


“Kalau bekalan ini naik sehingga 50 juta gelen tapi dalam keadaan kemarau kita agak sukar berikan jumlah yang mereka pinta tapi kalau kita mempunyai sumber airperkara itu tak jadi masalah,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menandatangani Perjanjian Tambahan Air Kedua Antara Johor dan Melaka, di sini, sebentar tadi.


Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari; Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Johor, Datuk Azmi Rohani dan SUK Melaka, Datuk Roslan Ibrahim.


Terdahulu, Osman turut mengumumkan pengekalan harga air mentah yang dibekalkan kepada Melaka pada kadar 50 sen untuk setiap 1,000 gelen bagi tempoh 10 tahun bermula 12 Ogos depan.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]