Jurujual rugi lebih RM7,000 ditipu ah long

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Akibat terpedaya helah ah long, seorang jurujual sanggup menghabiskan wang lebih RM7,000 hanya untuk mendapatkan pinjaman berjumlah RM5,000 daripada individu yang menawarkan perkhidmatan pinjaman wang secara atas talian.


Kejadian bermula apabila wanita berusia 21 tahun itu menerima mesej WhatsApp daripada nombor tidak dikenali menawarkan pinjaman secara atas talian, pada 16 Julai lalu.


Menurut sumber, mangsa yang ketika itu berada di tempat kerjanya di sebuah pasaraya di Gong Badak, Kuala Nerus, tertarik dengan tawaran itu sebelum membalas mesej tersebut untuk bertanya lebih lanjut berkaitan pinjaman berkenaan.


“Pada keesokan harinya, mangsa dihubungi seorang wanita memperkenalkan diri sebagai salah seorang kakitangan di sebuah syarikat pinjaman wang berlesen.


“Kemudian, selepas perbincangan dibuat, mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman peribadi berjumlah RM5,000 sebelum diarah menghantar gambar kad pengenalan miliknya, bil air dan elektrik rumah melalui WhatsApp sahaja.


“Tidak cukup dengan itu, mangsa diminta memberikan nombor akaun bank yang hanya berurusan untuk kemasukan gajinya setiap bulan sahaja,” katanya ketika dihubungi.


Jelas sumber, mangsa hanya akur dengan memberikan semua dokumen diminta tanpa sebarang syak sebelum dijanjikan permohonan itu akan diluluskan dalam kadar segera.


“Pada masa sama, mangsa diminta membuat pembayaran sejumlah RM500 kononnya sebagai wang proses yang perlu dimasukkan ke dalam akaun bank diberikan.


“Beberapa jam kemudian, sejurus memasukkan wang diminta, mangsa sekali lagi diminta membuat pembayaran ‘test payment’, konon baharulah pinjamannya akan diluluskan.


“Tanpa keraguan, mangsa hanya mengikut arahan diberikan sebelum sekali lagi diarahkan membuat pembayaran kononnya sebagai caj insurans syarikat,” katanya.


Sumber berkata, keesokan harinya iaitu pada 18 Julai lalu, mangsa diarahkan membuat pembayaran untuk insuran kedua dan wang pinjamannya akan terus dimasukkan ke dalam akaun sejurus pembayaran dibuat.


“Individu itu juga ada menghantar gambar polisi insurans milik mangsa yang sudah dibayar sebelum ini melalui WhatsApp sebagai bukti.


“Bagaimanapun, mangsa masih diarahkan membuat pembayaran sebagai caj dikenakan kepada pegawai yang hendak memasukkan wang pinjaman ke dalam akaun banknya,” katanya.


Kata sumber lagi, meskipun sudah membuat pembayaran melebihi jumlah yang hendak dipinjam, mangsa masih akur dengan setiap arahan diberikan.


“Mangsa hanya merasa sedikit curiga selepas masih diminta membuat pembayaran dengan pelbagai alasan tidak munasabah.


“Yakin dirinya sudah ditipu, mangsa nekad membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan susulan,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.


Jelasnya, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]