Kerajaan hentikan AP sisa plastik tiga bulan

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menghentikan pemberian permit import (AP) sisa plastik berkuatkuasa serta-merta untuk tempoh tiga bulan bermula semalam.


Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, ia susulan laporan sebuah akhbar tempatan mengenai pencemaran serius di Kuala Langat, Selangor yang dikatakan berpunca dari kilang yang memproses plastik import secara haram.


Katanya, berdasarkan data diberikan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), sebanyak 194 kilang menerima AP, namun 97 daripada jumlah itu merupakan kilang haram.


“Kilang haram ini, ada syarikat dapat AP tetapi tiada kilang dan menggunakan kilang lain untuk memproses sisa plastik.


“Sejurus pembekuan ini, semua kilang ini diberi tempoh untuk membuat permohonan baharu dengan memenuhi kriteria dan syarat baharu dalam tempoh tiga bulan ini,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini, hari ini.


Selepas tempoh tiga bulan diberikan berakhir, Zuraida berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil tindakan tegas.


Dalam pada itu, Zuraida berkata, KPKT melalui JPSPN akan menubuhkan satu pasukan petugas yang dipengerusikan Ketua Pengarahnya, Ismail Mokhtar, bagi mengkaji semula prosedur dan polisi semasa, pengimportan sisa plastik kod tarif 3915.


Katanya, pasukan petugas itu dianggotai Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdangangan Antarabangsa Dan Industri (Miti), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).


“Kerjasama turut akan dijalankan dengan semua agensi PBT di Malaysia bagi memastikan pengurusan sisa plastik dapat dilaksanakan dengan selamat dan mengikut piawaian alam sekitar antarabangsa,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]