Koperasi berjaya perlu jadi mentor

in Edisi by


JERANTUT – Koperasi berpengalaman dan berjaya di negeri ini diseru menjadi mentor kepada koperasi-koperasi yang baharu.


Exco Jawatankuasa Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, usaha itu dapat membantu koperasi baru untuk berjaya sekali gus dapat membantu ahli masing-masing.


Menurutnya, usaha tersebut sudah pastinya memerlukan kerjasama dan koperasi yang berpengalaman dan berjaya boleh bertindak sebagai mentor dengan berkongsi ilmu kejayaan.


“Saya berharap koperasi di negeri ini dapat menjalinkan kerjasama baik kerana kedua-dua pihak juga boleh mendapat manfaat menerusi usaha tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.


Dalam pada itu, beliau juga menggesa peneraju koperasi bersikap amanah, jujur, berdedikasi dan tidak menyeleweng kuasa yang dimiliki.


Tegasnya, elemen itu penting untuk mengelakkan koperasi terbabit tenggelam dan akhirnya sekadar tinggal nama.


“Ini kerana bila ada yang pecah amanah, menggunakan duit koperasi demi kepentingan sendiri, akibatnya koperasi yang menanggung padah.


“Apa jua keputusan perlu dilakukan dengan perbincangan bersama mesyuarat ahli lembaga pengarah.


“Jangan ikut kepala masing-masing,” katanya lagi.


Sementara itu, beliau juga meminta ahli memberikan komitmen seratus peratus selain mengharapkan pulangan.


“Komitmen seperti menghadiri mesyuarat sebabnya kadang kala kita lihat sebahagian mereka (ahli) liat dan sukar memberikan kerjasama,” ujarnya.


Menurutnya lagi, penglibatan ahli juga amat penting dalam memastikan sesebuah koperasi berjaya selain bergantung kepada kecekapan dan usaha penggerak koperasi masing-masing.


Tambahnya, kedua-dua pihak perlu saling bergantung antara satu sama lain untuk keberkesanan dan kejayaan dalam meraih keuntungan.


Sehingga kini terdapat kira-kira 1,106 buah koperasi berdaftar di Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pahang dengan lebih 200,000 ahli.

 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]