Pegawai bomba ditahan SPRM

in Edisi by


KUANTAN – Seorang pegawai bomba dari salah sebuah balai di negeri ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan memberi kontrak penyediaan makanan untuk aktiviti jabatan kepada syarikat milik isteri.


Suspek ditahan jam 4 petang tadi selepas dipanggil ke pejabat SPRM Pahang untuk siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.


SPRM Pahang dalam kenyataannya memaklumkan, suspek didapati memberi kontrak penyediaan makanan untuk peserta gotong-royong Program Bomba Bersama Masyarakat kepada syarikat milik isterinya antara tahun 2014 hingga 2015 membabitkan bayaran keseluruhan RM30,000.


Tangkapan dilakukan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.


Jika sabit kesalahan, individu terlibat berdepan hukuman penjara maksimum sehingga  20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.


Suspek dijangka akan dihadapkan ke mahkamah esok atas tuduhan berkenaan.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]