Pihaknya akan terus untuk menguatkuasakan undang-undang

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan tidak akan sesekali menerima desakan mana-mana pihak untuk berhenti menjalankan operasi dalam membanteras pendatang asing tanpa izin (Pati).


Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihaknya akan terus untuk menguatkuasakan undang-undang.


Menurutnya, ingin ditekankan, sebenarnya adalah tidak sukar untuk mana-mana majikan mendapatkan pekerja asing yang sah untuk bekerja.


“Namun, mengapa masih ada yang mencari Pati untuk bekerja? Sebab itu bila kita terima rungutan daripada majikan misalnya, kita beritahu bahawa imigresen akan terus melakukan operasi penguatkuasaan undang-undang.


“Hari-hari operasi dan itu yang saya tekankan. Kita tegaskan bahawa operasi yang dijalankan ini juga bukannya bermusim,” katanya kepada pemberita selepas Ops Mega 3.0 di Jalan Raja Laut, hari ini.


Mustafar berkata, bila ada desakan daripada institusi tertentu mahukan Ops Mega ini dihentikan, beliau menegaskan pendiriannya bahawa tindakannya itu adalah berdasarkan permintaan masyarakat yang ingin melihat negara bebas daripada Pati.


Katanya, Ops Mega ini tidak ada tempoh penamatannya dan usaha ini adalah berterusan.


“Kita maklumkan bahawa Program Penggajian dan Penempatan Semula Pati atau Rehiring telah tamat pada 31 Jun lalu, manakala Program 3+1 akan tamat pada 30 Ogos depan. Jangan ada mana-mana pihak yang menyalahkan kita dan kementerian, kerana kita hanya menjalankan tugas,” katanya.


Terdahulu, sebuah portal melaporkan bahawa Majlis Peguam menggesa kerajaan untuk menghentikan segera operasi membanteras pekerja asing tanpa izin kerana mereka tiada cara mendapatkan dokumen sah dengan sendiri, sebaliknya perlu bergantung kepada majikan.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]