PIPP: CAP bantah pinjam wang

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) membantah hasrat Kerajaan Pulau Pinang untuk meminjam wang dari kerajaan Pusat bagi membolehkan pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIPP) di negeri ini.


Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, pihaknya amat terkejut dengan kenyataan yang dibuat Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berhubung perkara itu beberapa hari lalu.


Menurutnya, ia berikutan sebelum ini, Kon Yeow dan Lim Guan Eng (bekas Ketua Menteri Pulau Pinang) memberi jaminan bahawa projek itu tidak akan melibatkan dana awam.


“Dahulu beri jaminan lain, kini lain pula ceritanya. Jika pinjaman itu diluluskan, ia mungkin akan memberi risiko kepada situasi kewangan Pulau Pinang selain kesan kepada ekonomi dan alam sekitar.  


 “Bagaimana jika nanti didapati RM1 bilion itu tidak mencukupi dan kerajaan negeri terpaksa meminjam dengan lebih banyak? Ini hanya akan menambahkan lagi beban terhadap Kerajaan Pulau Pinang dan rakyat negeri ini,” katanya.


Tambahnya, lebih menghairan, Guan Eng selaku Menteri Kewangan sebelum ini memaklumkan bahawa negara tidak mampu untuk mempunyai projek mega yang memerlukan kos yang tinggi.


“Ia disebabkan hutang negara yang dikatakan mencecah trilion ringgit. Tetapi, mengapa PIPP diberi pengecualian? Sedangkan anggaran kos projek itu didakwa melebihi RM40 bilion. Pulau Pinang memang memerlukan dana tetapi untuk perbelanjaan penting termasuk pemulihan beratus cerun yang terjejas.


“Selain itu, ia juga untuk membaik pulih kawasan bukit yang terjejas oleh tanah runtuh dan menambah baik keadaan sungai serta mewujudkan ruang hijau dan permukaan yang telap untuk menyerap air hujan. Dana itu juga diperlukan untuk pemulihan dan pemuliharaan kawasan pantai dan hutan bakau.


“Ia juga untuk projek tebatan banjir dan memperbaiki keadaan kehidupan golongan yang mudah terjejas dan komuniti miskin. Ini semua adalah perkara utama yang memerlukan pembiayaan jika Pulau Pinang mahu pulih daripada kerosakan yang disebabkan oleh bencana alam,” katanya.


Menurutnya, Kerajaan Pulau Pinang perlu memohon pembiayaan untuk pelan dan strategi lengkap bagi mengelakkan banjir dan bencana alam pada masa akan datang.


 “PIPP akan melibatkan penarahan bukit dan tebus guna tanah secara besar-besaran daripada laut. Ini akan menambahkan lagi masalah alam sekitar di negeri ini. Oleh itu, lebih baik agar semakan semula secara lebih komprehensif dilakukan.


 “Penilaian Kesan Alam Sekeliling bagi Pan Island Link (PIL) yang dikeluarkan baru-baru ini menunjukkan banyak kemudahan awam termasuk Taman Belia, sekolah, kuil dan Bukit Bendera akan terjejas dengan lebih serius. PIPP perlu dihentikan sementara sehingga semakan semula secara komprehensif dilakukan,” katanya.


Terdahulu, Kon Yeow berkata, Kerajaan Pulau Pinang amat berbesar hati sekiranya kerajaan Persekutuan dapat memberi pinjaman bagi membolehkan projek transit aliran ringan (LRT) dan PIL dilaksanakan serentak.


Menurutnya, pinjaman itu sekurang-kurangnya dapat menghadapi masalah kos pembinaan pada fasa permulaan nanti.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]