'Wak Lid banyak bantu semasa bergelar ibu tunggal'

in Hiburan by
AISHAH. Foto – Instagram AISHAH

‘Wak Lid banyak bantu semasa bergelar ibu tunggal’


SIAPA sangka biarpun berlainan cabang dalam industri, namun penyanyi, Aishah dan pelakon serta aktivis teater, Khalid Salleh mempunyai hubungan yang baik.


Menurut Aishah menerusi posting di Instagram miliknya, Khalid atau lebih mesra dipanggil Wak Lid banyak membantu dirinya ketika bergelar ibu tunggal suatu ketika dahulu.


Bahkan jika ada antara mereka yang sakit pening, keluarga arwah juga yang akan tahu terlebih dahulu.


“Arwah sekeluarga terlalu banyak membantu saya semasa bergelar ibu tunggal, kalau sakit pening, mereka yang kami beritahu dahulu.


“Kalau anak-anak saya nakal maka mereka akan didisiplinkan oleh Wak Lid dan pernah satu ketika saya sakit teruk, Wak Lid sekeluarga datang membantu.


“Semoga segala jasa dan kebaikannya akan ALLAH balas dengan sebaik-baik pembalasan. Al-Fatihah,” tulisnya.


Mengimbau kenangan bersama Khalid, Aishah memberitahu pengalaman berlakon dalam teater tulisannya Teh Tarik cukup meninggalkan kesan mendalam kepada dirinya.


Ujar penyanyi yang terkenal dengan lagu Janji Manismu ini, menerusi teater itulah dia banyak menimba ilmu selain dan belajar mengenai erti rendah diri dan persahabatan.


“Ditakdirkan saya diberitahu oleh isteri arwah dia juga meminati suara saya, hinggakan pernah diceritakan oleh isteri arwah iaitu Kak Midah, Wak Lid gantung poster saya di tempat dia lepak.


“Mereka juga tinggal berhampiran dengan rumah kami, selalu bertembung dengan arwah dan isteri di tempat makan. Setiap kali jumpa saya akan tanya; ‘Wak bila nak ajak saya berlakon teater?


“Hinggalah satu hari beliau tawarkan saya untuk uji bakat untuk sebuah teater tulisannya, Teh Tarik.


“Pengalaman teater itu sangat berharga bagi saya, makan nasi lemak atas lantai waktu rehat, tanpa mengira siapa anda, latihan berminggu-minggu merapatkan silaturahim dalam kalangan kami tak ubah seperti keluarga sendiri malah lebih lagi,” ujarnya.


Menerusi perkongsian berlainan di Instagram, Aishah memuat naik gambarnya bersama Khalid ketika menziarahi pelakon itu pada hari raya Aidilfitri lalu.


“Dialah pemikir, seniman, penulis, aktor yang disegani dan lebih penting seperti abang sendiri.


“Tak sangka gambar yang diambil bersama merupakan gambar terakhir kami bersama pada hari raya pertama,” jelasnya.


Khalid menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Ampang Puteri dekat sini kira-kira pukul 3.20 petang pada usia 70 tahun.


Anak Allahyarham, Israr Khalid memberitahu bapanya mengalami kesukaran bernafas sejak dua hari lalu dan arwah dikejarkan ke hospital pagi Isnin sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]