Beri semula kebenaran melombong bauksit

in Nasional by


KUANTAN – Kerajaan diminta agar memberi semula kebenaran meneruskan perlombongan bauskit bagi tujuan pendapatan peneroka.  


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Lembing Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah dari Barisan Nasional (BN) berkata, aktiviti itu bagaimanapun perlu dilakukan dengan kawalan ketat supaya tidak menjejaskan alam sekitar.


“Penduduk di sekitar Bukit Goh merayu kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan mana-mana pihak berkenaan untuk meneruskan aktiviti perlombongan bauksit.


“Mereka kini tiada hasil dan terpaksa bergantung harap kepada bantuan anak. Walaupun harga bauksit sudah jatuh pada masa ini, namun kita minta supaya kebenaran masih dapat diberikan,” katanya.


Md Sohaimi berkata demikian semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.


Perlombongan bauksit di daerah ini dihentikan ekoran penguatkuasaan moratorium pada 15 Jan, 2016 selepas didapati mencemarkan alam sekitar.


Persidangan hari ini juga menyaksikan kos Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menjadi topik perbahasan apabila Chow Yu Hui (DAP-Tras) menyatakan bersetuju dengan titah Tengku Abdullah yang menyokong kajian semula kos projek itu.


Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai ‘langkah bijak’ kerana ia satu projek mega dan lebih wajar dijalankan dalam kos yang berpatutan berbanding kos anggaran RM70 bilion.


Bagaimanapun, Datuk Mohd Fadil Osman (BN-Kemayan) yang mencelah mempersoalkan nilai kos anggaran itu kerana kos yang diumumkan oleh kerajaan terdahulu hanya RM55 bilion yang seterusnya dipertikaikan oleh Lee Chean Chung (PKR-Semambu)


Lee: Kos akhir mungkin akan meningkat sehingga RM70 bilion kerana semasa di bawah kerajaan BN, mereka cuma kata kos RM55 bilion. Jadi untuk mengkaji semula, adakah ia satu perkara bijak atau tidak?


Mohd Fadil : Tidak bijak kerana semasa kerajaan BN buat RM55 bilion, tapi bila kerajaan baharu buat semula, kosnya meningkat.


Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob (BN-Pelangai) juga tidak ketinggalan mengambil bahagian untuk mencelah dengan berkata dalam penyediaan kos anggaran awal berkemungkinan berlaku beberapa perkara tidak dimasukkan.


“Tapi kalau saya, suka kos tinggi sebab boleh kata hutang kerajaan sekian banyak… dengan demikian boleh kata tak dapat beri tol dan PTPTN (Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) percuma. Itu sebab tak dapat melaksanakan manifesto,” katanya secara sinis.


Sementara itu, Young Syefura Othman (DAP-Ketari) mempersoalkan kesahihan lesen membalak yang dikeluarkan di Janda Baik apabila mendakwa tarikh itu diubah dalam dua pemeriksaan yang dilakukannya.


Beliau mendakwa pada kunjungan kali pertama pada 10 Julai lepas, tarikh yang tertera pada lesen ialah 1 Sept, 2017 hingga 28 Feb lepas, namun pada 20 Julai, tarikh itu telah diubah menggunakan tulisan tangan pada 1 Sept, 2018 hingga 31 Dis, 2018.


“Mengambil kira tarikh kedua, adakah ia bermaksud pembalakan yang sedang berlaku dijalankan secara haram? Malah pokok yang ditebang juga didapati tidak ditanda terlebih dahulu sedangkan ia perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu,” katanya.


Persidangan bersambung esok. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]