Bot hilang ditemui di dasar laut

in Edisi Terengganu by


MARANG – Syukur TFA 123 tidak berkubur di dasar laut,” demikian luah pemilik bot yang karam di perairan Marang pada 5 Julai lalu, Mohd Azmi Mohd Saad, 39, selepas dimaklumkan botnya itu berjaya ditemui.


Menurutnya, selepas 20 hari hilang di laut Marang, bot dinaikinya bersama tiga lagi nelayan itu akhirnya ditemui dalam keadaan karam di dasar laut lebih kurang dua batu nautika dari kuala Marang, semalam.


“Akhirnya, bot tenggelam itu berjaya ditemui. Bot ditemui rakan nelayan yang melihat pelambung dekat Pantai Kelulut lebih kurang empat kilometer (dua batu nautika) dari kuala Marang,” katanya, hari ini.


Mohd Azmi berkata, sebelum ini gerakan mencari bot itu dimulakan sehari selepas ia karam di perairan berkenaan iaitu pada 5 Julai lalu dan karam ketika dalam perjalanan keluar untuk mencandat sotong.


Bagaimanapun, usaha yang dijalankan nelayan setempat dan dibantu banyak pihak termasuk Persatuan Nelayan Kawasan Marang tidak berhasil dan terpaksa dihentikan sementara kerana beberapa faktor.


“Saya terkejut dan bersyukur apabila menerima panggilan telefon dari rakan memaklumkan bot itu berjaya ditemui sekumpulan nelayan yang keluar untuk memancing lalu terus bergegas ke lokasi penemuan.


“Bot itu dijumpai kira-kira jam 9.30 pagi lebih kurang 10 kilometer (lima batu nautika) daripada lokasi saya diselamatkan selepas bot itu karam iaitu kira-kira empat kilometer dari kuala Marang,” katanya.


Mohd Azmi berkata, selepas ditemui operasi menunda dijalankan dengan bantuan tiga bot laut dalam serta enam bot gentian kaca yang akhirnya berjaya membawa bot itu masuk ke perairan Pulau Kekabu.


Menurutnya, sebelum itu, operasi menunda bot berkenaan menghadapi pelbagai cabaran termasuk tali digunakan putus beberapa kali namun setelah bersusah payah dalam tempoh dua hari, misi itu berjaya.


Dalam ada itu, pemegang ijazah perakaunan itu memaklumkan cabaran itu tidak akan melemahkan semangatnya untuk terus bergelumang dengan laut sebaik sahaja bot itu dibaik pulih sepenuhnya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]