CEP tidak langkau peranan kerajaan: Syed Saddiq

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman menjelaskan tiada isu boleh mengatakan bahawa tugas Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) melangkaui peranan kerajaan.


Ini kerana menurutnya, CEP mempunyai peranan tertentu dan ditubuhkan atas empat faktor selepas PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada BN selepas PRU14.


Menurut Syed Saddiq, pertamanya, pelantikan anggota majlis adalah berdasarkan kepada meritokrasi dan pengalaman mentadbir.


Menjelaskan pengalaman keanggotaan CEP, beliau yang juga merupakan Ketua Armada berkata, keempat-empat mereka mempunyai pengalaman luas dalam bidang masing-masing.


Keduanya beliau berkata, setiap tindakan dan keputusan yang dilakukan oleh CEP tidak boleh diluluskan dengan sendiri.


“Contohnya, apabila keputusan untuk menghantar Tun Daim Zainuddin untuk berunding sebelum lawatan rasmi perdana menteri ke China, prosedur yang perlu dilakukan adalah memaklumkan anggota Kabinet dan mendapat persetujuan dari perdana menteri.


“Tidak ada isu anggota CEP lebih berkuasa daripada Kabinet dan CEP ini tidak berupaya untuk bertindak sesuka hati dan melangkaui bidang kuasa yang diperuntukkan,” katanya melalui kenyataan media hari ini.


Penjelasan Syed Saddiq itu dikeluarkan bagi menjawab saranan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang mahukan kerajaan membubarkan CEP atas alasan majlis itu bertindak melangkaui bidang kuasa dan untuk menjaga akauntibiliti Kabinet.


[ARTIKEL BERKAITAN: KJ saran kerajaan bubar CEP]


Beliau yang juga merupakan Menteri Belia dan Sukan berkata, ketiga adalah bidang kuasa CEP adalah menjadi penasihat kepada Kabinet dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


“Jika nasihat yang diberi itu dirasakan tidak sesuai, maka anggota Kabinet berhak untuk menolak atau meminta penambahbaikan kepada cadangan dan nasihat daripada CEP,” katanya.


Terakhir kata Syed Saddiq, tempoh kuasa yang diberi kepada CEP untuk menasihat Kabinet adalah hanya selama 100 hari.


“Sepanjang 100 hari, banyak nasihat dan cadangan telah dibawa dari CEP kepada kerajaan Malaysia. Tidak ada isu atau masalah pertindihan kuasa yang pernah dilakukan CEP,” katanya.


Majlis Penasihat Kerajaan dianggotai bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican, ahli ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram dan tokoh perniagaan Robert Kuok.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]