CIDB keluarkan 40 notis pelbagai kesalahan

in Edisi Terengganu by


KUALA NERUS – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Negeri Terengganu mengeluarkan 40 notis pelbagai kesalahan terhadap sebuah projek binaan di daerah ini dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Pelbagai Jabatan, hari ini.


Pengurus (Bahagian Operasi) CIDB Negeri Terengganu, Siti Nor Sarah Mohd Rasid berkata, operasi itu disertai seramai 50 pegawai dan kakitangan melibatkan sembilan agensi lain seperti Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan Jabatan Alam Sekitar.


“Daripada 40 notis yang dikeluarkan itu, sembilan daripadanya adalah tidak memiliki Pendaftaran Personel Binaan atau dikenali sebagai kad hijau dan kesemua sembilan pekerja yang terlibat itu turut diarah membayar kompaun sebanyak RM200 setiap seorang.


“Manakala 23 notis lain dikeluarkan kerana tidak mempunyai perakuan pekerja mahir daripada CIDB.

Pekerja asing ditahan untuk siasatan lanjut oleh Jabatan Imigresen Malaysia.


“Selain itu, lapan notis juga dikeluarkan kepada kontraktor dan sub kontraktor untuk mereka mengemukakan maklumat pekerja-pekerja pembinaan dalam tempoh seminggu,” katanya dalam sidang media sebaik selesai operasi berkenaan, hari ini.


Katanya lagi, dalam operasi itu juga seorang majikan dan 49 pekerja warga asing turut ditahan untuk pemeriksaan lanjut oleh Jabatan Imigresen Malaysia.


“Seorang majikan dan 49 pekerja asing dari Bangladesh, Indonesia dan India itu ditahan bagi mendapatkan maklumat lebih jelas mengenai status dokumen dan permit kerja mereka.


“Secara keseluruhan operasi yang dijalankan hari ini berjalan dengan lancar dan baik,” katanya.


Tambahnya lagi, jabatan-jabatan lain yang turut serta dalam operasi bersepadu itu tidak merekodkan sebarang kesalahan lain.

 


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]