HFMD: 4 taska diarah tutup di Melaka

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


MELAKA TENGAH – Empat taman asuhan kanak-kanak (taska), tiga di daerah Alor Gajah dan satu di Melaka Tengah, diarah tutup berikutan penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sejak tiga minggu lalu.


Exco Kesi­hatan Melaka, Low Chee Leong berkata, satu taska di Alor Gajah diarah tutup awal bulan ini selepas tiga kes HFMD dikesan manakala dua lagi diarah berbuat demikian pada 16 dan 17 Julai lalu.


Menurutnya, ini selepas masing-masing terdapat tiga dan empat kes HFMD dikesan di kedua-dua taska berkenaan.


“Untuk kes di Melaka Tengah pula, taska terbabit telah diarah tutup bermula 3 Julai lalu selepas dua kes HFMD dikesan di taska berkenaan.


“Semua taska terbabit diarah tutup selama 10 hari termasuk yang sudah pun beroperasi semula,” katanya dalam satu kenyataan.


Dalam perkembangan sama, menurut Chee Leong, sebanyak 1,280 ­kes HFMD dilaporkan di negeri ini antara 1 Januari dan 21 Julai lalu.


Bagaimanapun, tiada sebarang kematian dilaporkan dalam tempoh berkaitan.


Mengikut statistik, daerah Melaka Tengah mencatatkan kes terbanyak dengan 583 kes, diikuti daerah Alor Gajah dengan 454 kes dan Jasin dengan 243 kes.


“Jumlah kes HFMD yang dicatatkan dalam tempoh ini menunjukkan peningkatan sebanyak 54.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]