Isu batal PBS tidak aktif bakal selesai

in Edisi by


JELI – Isu pembatalan penubuhan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) yang kurang aktif akan dapat diatasi apabila pindaan Akta Perkhidmatan Bomba 1988 dikuatkuasakan tidak lama lagi.


Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Nazili Mahmood berkata, pindaan yang kini dalam proses untuk dikuatkuasakan itu dijangka lebih memudahkan dan memberi keselesaan kepada PBS pada masa akan datang.


“Jabatan (JBPM) telah menggubal undang-undang yang ada di mana urusan pendaftaran dan pentadbiran PBS terus di bawah JBPM.


“Mungkin sebelum ini tak ada masalah sangat, cuma mana-mana PBS yang tak aktif kalau mereka tak buat laporan, pendaftaran pertubuhan mereka akan ditamatkan,” katanya kepada media ketika menghadiri Perhimpunan Bulanan JBPM Negeri Kelantan di sini, hari ini.


Hadir sama, Timbalan Pengarah JBPM negeri, Anwar Abu Bakar dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohamad Shahril Mohamad Sa’ aid.


Nazili berkata, di bawah Akta Perkhidmatan Bomba mereka akan didaftarkan dan JBPM sendiri akan menyelenggarakan pentadbiran PBS berkenaan.


“Sesuatu pertubuhan didaftarkan akan memudahkan mereka melakukan aktiviti, melibatkan kewangan dan insurans. Jadi dengan penubuhan di bawah JBPM, ia membolehkan kita menyelenggarakan dan menyelia PBS dengan baik,” katanya.


Mengulas lanjut, Nazili berkata, sehingga kini terdapat 20 PBS yang berdaftar dan aktif di seluruh negeri dengan jumlah keanggotaan seramai 625 orang.


“Jika diberi latihan secukupnya sudah pasti beban tugas dan tanggungjawab dilaksanakan anggota lebih mudah,” katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut mengalu-alukan penubuhan Pasukan Bomba Komuniti sebagai pendedahan awal kepada kerja-kerja menyelamat dan memadam kebakaran.


“Sekurang-kurangnya ia dapat bantu diri sendiri. Mereka akan diajar untuk padam kebakaran selain mendapat ilmu kebombaan secara peribadi,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]