Keguguran: Syatilla sedia hamil lagi

in Hiburan by
SYATILLA MELVIN. FOTO : INSTAGRAM

Keguguran: Syatilla sedia hamil lagi


IMPIAN pelakon Syatilla Melvin dan Shaheizy Sam untuk menimang cahaya mata kedua tidak kesampaian apabila disahkan mengalami keguguran pada minggu lepas ketika kandungan berusia hampir enam minggu.


Menurut Syatilla, 26, dia mengetahui dirinya hamil sebaik pulang bercuti dari Santorini, Greece, namun tidak membuat pemeriksaan awal kerana enggan menimbulkan kebimbangan kepada diri sendiri.


“Sebenarnya ketika bercuti lagi saya dah syak hamil berdasarkan tanda-tanda sama ketika mengandung Syeriv. Tapi saya tak nak periksa dahulu dan tunggu balik ke rumah baru periksa.


“Bila balik dan buat ujian, memang sah mengandung. Tapi minggu lalu, selepas mengemas rumah tiba-tiba saya sakit pada bahagian pinggang dan tidak lama kemudian, sedikit demi sedikit pendarahan turun.


“Sementara nak tunggu janin tersebut keluar sepenuhnya, saya berdepan dengan sakit kontraksi seperti hendak bersalin.


“Walaupun ini pengalaman kedua saya keguguran, tapi kali ini yang paling sakit berbanding yang pertama iaitu sebelum saya mengandungkan Syeriv,” katanya kepada media ketika ditemui pada pelancaran Jamu Mutyara di Wow KL, Jalan Ampang, petang tadi.


Tambah pemilik nama sebenar Siti Nur Syatilla Amirol Melvin, dia sememangnya sudah bersedia untuk menimang cahaya mata biarpun Syeriv baru berusia 15 bulan.


“Walaupun masih baru tapi saya sedih juga. Sam juga sudah merasakan saya hamil ketika bercuti tapi dia tunggu saya beritahu saya sendiri.


“Saya memang mahukan ramai anak dan sudah bersedia untuk menimang cahaya mata kedua. InsyaALLAH kalau ada rezeki saya mahu lima orang anak.


“Ketika saya keguguran kali pertama dahulu, sebulan kemudian saya hamilkan Syeriv. Jadi jika ada rezeki lagi selepas ini, saya akan pastikan lebih berhati-hati dan mungkin mengupah pembantu untuk menjaga Syeriv bersama,” katanya yang kini melalui proses berpantang.


Syatilla yang mendirikan rumah tangga pada Februari 2016 pernah keguguran, sebelum dikurniakan cahaya mata lelaki, Syeriv Samheizy yang kini berusia 15 bulan.


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]