Kes kereta terbakar ada kaitan khianat

in Uncategorized by


BAGAN SERAI – Kes kebakaran ‘misteri’ sebuah Toyota Vios di tempat parkir sebuah rumah di Taman Kurau Jaya, Kuala Kurau dekat sini pada awal pagi Sabtu dipercayai ada kaitan perbuatan khianat.


Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kes kebakaran itu sebenarnya turut dikaitkan dengan kes tangkapan salah seorang daripada suspek kes melepaskan tembakan dan memiliki pistol di Jalan Pantai, Kuala Kurau, pada 20 Julai lalu.


Menurutnya, sewaktu kejadian berlaku lebih kurang jam 5.14 pagi, isteri dan anak pemilik kereta yang merupakan suspek utama masih direman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian berada di dalam rumah.


“Apabila berlaku kebakaran kereta terbabit, isteri pemilik kenderaan yang merupakan suspek utama kes tembak dan memiliki pistol terjaga dari tidur sebelum bertindak menghubungi bomba.


“Kes masih disiasat atas kesalahan cubaan khianat dan polis masih menunggu laporan siasatan forensik daripada pihak bomba untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di IPD Kerian, di sini, semalam.


Terdahulu, Sinar Harian melaporkan sebuah Toyota Vios berwarna putih terbakar ‘misteri’ di perkarangan parkir sebuah rumah di Taman Kurau Jaya, Kuala Kurau.


Sewaktu kejadian berlaku, difahamkan isteri dan anak pemilik kereta berkenaan bertindak melarikan diri melalui pintu belakang rumah untuk menyelamatkan diri.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]