KPDNKK periksa gerai ikan 5 sen

in Edisi Utara by


SUNGAI PETANI – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Sungai Petani membuat pemeriksaan ke atas gerai ikan kembung depan Masjid Al-Majidi Sungai Layar selepas menjadi tular dengan jualan 5 sen seekor.


Ketua Cawangan, Mazlan Safar berkata, tindakan berkenaan adalah tugas rutin dilakukan ke atas premis perniagaan bagi memastikan peniaga mematuhi arahan dan garis panduan ditetapkan.


Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati semua barangan yang dijual mempunyai tanda harga dan alat timbang yang digunakan masih dalam tempoh penentusahan.


“Pemeriksaan dilakukan secara menyeluruh ke premis dan kita mendapati kesemua barangan dijual mempunyai tanda harga,” katanya.


Menurutnya, pemeriksaan mendapati ikan dijual dengan harga 30 sen seekor bersamaan 18 hingga 20 ekor sekilogram mencecah harga jualan sekilogram adalah RM5.70.


“Berbanding harga pasaran semasa sekitar Sungai Petani iaitu RM7 hingga RM8 sekilogram.


“Harga ikan kembung yang ditetapkan mereka ialah 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 30 sen seekor bergantung kepada bekalan dan harga yang diperoleh daripada pembekal atau nelayan,” katanya.


Beliau berkata, bekalan ikan yang diperoleh pada hari berkenaan dari Pasar Bisik Kota Kuala Muda adalah sebanyak 500 kilogram iaitu bersamaan anggaran 9,500 ekor ikan.


“Ikan dibeli secara pukal dalam kuantiti bakul di mana berat timbangan sebakul ialah 20 kilogram, harga yang diperoleh peniaga ialah RM110/bakul bersamaan RM5.50 sekilogram,” katanya.


Beliau berkata, rasional peniaga memperkenalkan perniagaan dengan harga murah memudahkan pelanggan mendapatkan ikan dengan harga murah dari pasaran dalam masa sama, perkongsian dengan cara bersedekah amat terpuji.


Bagaimanapun katanya, KPDNKK suka mengingatkan agar setiap peniaga yang menjalankan urus niaga mematuhi garis panduan termasuk mengguna pakai sukatan timbangan metrik bagi memenuhi Akta Timbang dan Sukat dalam setiap jualan.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]