Kurangkan kesesakan di LTAPP

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Kementerian Pengangkutan melalui Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) sedang merancang melaksanakan langkah optimum terminal bagi mengurangkan kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).


Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, melalui jawapan bagi soalannya di Dewan Rakyat, pihaknya diberitahu langkah jangka pendek itu akan dilaksanakan bagi menampung 10 peratus kenaikan jumlah penumpang setiap tahun.


Menurutnya, langkah pengoptimum terminal di LTAPP itu dijangka siap pada suku kedua tahun hadapan.


“Saya mengutarakan masalah yang telah lama berlaku di LTAPP berikutan jumlah penumpang pada tahun lalu mencecah 7.2 juta iaitu kenaikan 111 peratus daripada kapasiti sedia ada. Sehubungan itu, kerajaan Pusat akan mengambil langkah jangka masa pendek dan panjang.


“Tujuan pengoptimum terminal ini bagi mengurangkan kesesakan penumpang terutamanya pada waktu sesak. Antara skop kerja terlibat dalam langkah ini adalah penempatan semula kaunter tiket, penambahan dan pembesaran bagi kaunter daftar masuk, kaunter Jabatan Imigresen serta mengubahsuai lokasi pengambilan bagasi,” katanya kepada media semalam.


Tambahnya, ketika ini, MAHB masih dalam proses penyediaan dokumen tender bagi melantik kontraktor.


“Kerja-kerja mengubahsuai akan mengambil masa lima bulan dan dijangka siap pada Februari 2019. Sementara itu, bagi jangka masa panjang pula, MAHB merancang untuk mempertingkatkan kapasiti pengendalian penumpang daripada 6.5 juta setahun (mppa) kepada 12 mppa.


“Untuk perkara itu, MAHB sedang melaksanakan proses pelantikan perunding yang dijalankan menerusi tender terbuka. Perincian kos keseluruhan projek pembesaran LTAPP akan tertakluk kepada kajian terperinci yang akan dilaksanakan perunding dan kaedah pembiayaan yang dipilih,” katanya.


Kon Yeow berkata, kerajaan Pusat akan mengkaji model pembangunan dan kaedah pembiayaan yang sesuai agar projek pembesaran LTAPP dilaksanakan dengan kos yang efektif.


Jelasnya, pihak kerajaan juga memaklumkan bahawa tiada pengambilan tanah dilakukan bagi projek ini berikutan tanah sedia ada sudah mencukupi.

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]