Nelayan dikhuatiri hilang

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Seorang nelayan dikhuatiri hilang sejak dua hari lalu apabila bot dinaiki bersama seorang rakan karam kira-kira tujuh batu nautika dari Selatan Pulau Perhentian.


Timbalan Pengarah Maritim Wilayah Timur (Operasi) APMM, Kapten Maritim V Pannir Selvan berkata, bot membawa mangsa yang dalam perjalanan dari Pulau Perhentian ke Pulau Lang Tengah dipukul ribut menyebabkan mereka terjun menggunakan pelampung untuk menyelamatkan diri.


Menurutnya, mangsa, Mohd Shairil Ibrahim , 35, beralamat di Kampung Telaga Papan, Pasir Putih gagal dikesan apabila berpatah balik ke bot yang tengelam bagi mendapatkan beg miliknya yang tertinggal diatas bot itu.


Bagaimanapun katanya, rakan mangsa, Mohd Saupi Ibrahim, 57, yang  beralamat di Kampung Beris Panggong, Kuala Besut telah berenang ke daratan sebelum diselamatkan sebuah bot nelayan pada keesokan harinya.


“Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuantan menerima laporan daripada rakan mangsa yang terselamat kira-kira jam 7.30 malam tadi dan operasi mencari dan menyelamat diaktifkan serta merta.


“Sebuah aset dari Maritim Terengganu dan sebuah lagi dari Maritim Kelantan ke lokasi kejadian menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang,” katanya.


Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa dalam kawasan sekitar 10 batu nautika akan diperluaskan sekiranya masih belum ditemui.


“Operasi ini juga turut dibantu oleh sebuah aset laut dari Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.


Dalam pada itu,  beliau menasihati orang awam khususnya nelayan supaya mengutamakan keselamatan diri berbanding dokumen dibawa.


“Selamatkan diri terlebih dahulu sekiranya berdepan insiden begini,” katanya.


Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian atau terlihat kejadian kecemasan di laut boleh menghubungi MRSC Kuantan yang beroperasi 24 jam di talian 09-5717345 atau melalui MERS 999.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]