Orang Bosnia pun sanjung Tun M

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Nama Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad bukanlah nama asing di Bosnia dan meniti dibibir serta hati rakyat di negara berkenaan.


Presiden of Management Board, Bosna Bank International Sarajevo, Amir Bukvic berkata, atas dasar itu, persetujuan Tun Dr Mahathir untuk mengadakan teleconference bagi ucapan aluan dari Malaysia sempena Sarajevo Halal Fair pada 27 hingga 29 September ini merupakan satu penghargaan besar.


Menurutnya, Tun M telah memberi sokongan kepada negara Bosnia sejak 43 tahun lalu bermula pada 1985.


“Tun M pernah menerima anugerah The Dragon of Bosnia, iaitu anugerah tertinggi negara Bosnia dan hanya beberapa pemimpin sahaja yang berpeluang diiktiraf melalui anugerah berkenaan.


“Menjadi rakyat Malaysia di Bosnia sangat popular… Tun M mempunyai nama yang sangat besar di Bosnia. Tun M bukan hanya boleh memenangi pilihanraya di Malaysia, bahkan di Bosnia juga,” katanya selepas Taklimat dan Sidang Media mengenai “Sarajevo Halal Fair” di Artac Holdings, Wisma UOA II, tadi.


Amir berkata, pihaknya baharu kali pertama menganjurkan program “Sarajevo Halal Fair” berkenaan dan berharap agar penganjuran kali pertama itu mendapat sambutan menggalakkan dari negara Islam.


Menurutnya, antara negara yang sudah memberikan respon positif ialah Turki, Arab Saudi dan pihaknya juga dengan kerjasama Islamic Development Bank yang dianggotai sebanyak 57 negara.


“Kita harap lebih banyak lagi peniaga halal yang akan menyertai kita dalam program ini dan kita juga terbuka untuk menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan peniaga di Malaysia untuk melabur di Bosnia.


“Malah, kita juga menyasarkan untuk menjalinkan lebih banyak pelaburan di negara kami (Bosnia) antaranya berkaitan hospitaliti, makanan dan hydroelektrik.


Sementara itu, Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Dr Rahim Tamby Chik berkata, pihaknya bersedia untuk berkerjasama mahupun membuat pelaburan di Bosnia.


“Terdapat kira-kira 200 pengusaha serta badan bukan kerajaan (NGO) bernaung di bawag Gabem dan kita sedia memberikan khidmat nasihat kepada mana-mana pengusaha yang berminat untuk membuat pelaburan di Bosnia mahupun menyertai Sarajevo Halal Fair pada 27 hingga 29 September ini .


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]