Penyokong Pas bebas undi calon di PRK Sungai Kandis

in Politik by


KUALA LUMPUR – Penyokong Pas bebas mengundi sesiapa sahaja calon yang dirasakan layak dan sesuai dalam PRK Sungai Kandis 4 Ogos ini.


Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia sebagai menunaikan tanggungjawab pengundi di kawasan tersebut walaupun tidak meletakkan calon dan jentera parti di kawasan berkenaan.


Katanya, rakyat berhak memilih untuk masa depan negara yang lebih baik.


“Kalau hendak tengok masa depan, kita perlu perbaiki. Bagi melihat masa depan negara, memang diakui bebanan penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa perlu diurus secara cermat sebab kita tidak boleh tutup fail tanpa melihat semula sebabnya.


“Bila Umno dan BN tumbang, PH naik (jadi kerajaan), rakyat letak satu harapan baharu, tetapi kalau PH gagal dengan apa yang dikehendaki rakyat, tak mustahil rakyat akan buat perubahan semula,” katanya kepada media di lobi Parlimen di sini, hari ini.


Menurutnya, rakyat sedang memerhati ke mana hala tuju negara dengan peralihan kerajaan hari ini.


“Sebab itu bagi kita, sama ada kerajaan baharu atau lama, yang penting kerajaan sedang memerhati. Ke mana sebenarnya negara hendak dibawa dan harapan rakyat PH dapat tunaikan janji mereka,” katanya.


[ARTIKEL BERKAITAN: PRK Sungai Kandis 4 Ogos: SPR]


[ARTIKEL BERKAITAN: Tiga penjuru di PRK Sungai Kandis]


PRK Sungai Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Datuk Lokman Noor Adam mewakili BN, Mohd Zawawi Ahmad Mughni (PKR) dan Murti Krishnasamy (bebas).


Kerusi Dun Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia, 2 Julai lalu ekoran kanser limfoma.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]