Perlu menghormati hak orang Melayu

in Nasional by


ALOR SETAR – Umno Kedah berpendirian tidak salah penelitian semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Model Ekonomi Baru (MEB) mengikut keperluan semasa dan juga jangkaan masa depan mahupun mengikut acuan sektor mana perlu dibangunkan asalkan ia menghormati hak-hak istimewa orang Melayu.


Timbalan Pengerusi Umno Negeri, Datuk Othman Aziz berkata, dalam kajian penelitian kementerian yang terlibat perlulah juga melihat kepentingan kaum Melayu mengikut Artikel 153 Perlembagaan Malaysia menyentuh Hak Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera.


“Walaupun pihak kami menolak penilaian semula ke atas DEB dan MEB dengan menerima hakikat negara sudah berubah. Dalam masa sama, kerajaan yang sedia perlu menghormati perkara-perkara termaktub dalam perlembagaan Malaysia,” katanya, ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa DEB akan dikaji semula oleh kerajaan dengan melihat kepada keperluan dan bukan lagi bangsa.


Menurutnya, aspek hak orang Melayu perlu diberi pertimbangan supaya ketidakseimbangan sosioekonomi yang wujud di Malaysia antara kaum dapat diatasi.


“Kita tidak mahu berlaku ketidakseimbangan kekayaan negara mengikut kaum yang berkaitan dengan apa-apa model ekonomi baru yang bakal diperkenalkan, ia akan menimbulkan masalah sosial yang lain.


“Mahu atau tidak mahu, ia perlu mengambil kira bukan sahaja Melayu tetapi kaum India juga tidak ketinggalan dalam aspek kemajuan ekonomi,” katanya.


Othman berkata, kerajaan baharu perlu mencontohi inisiatif yang diambil kerajaan BN dahulu seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) untuk membantu sosioekonomi kaum Melayu, pada awalnya.


“Selepas itu, inisiatif itu diperkenalkan kepada kaum India untuk program pembangunan sosioekonomi masyarakat India sebagai salah satu langkah mensejahterakan kumpulan sasar tersebut.


“Perkara-perkara seperti ini perlu diambil kira, kita bukan sahaja-sahaja mahu membangkang, tetapi pihak kami minta kerajaan baru ia mengambil kira aspek perkauman supaya tidak berlaku ketidakseimbangan dan menimbulkan isu yang lain,” katanya.


Katanya lagi, aspek perkauman dilihat ketika sampai masa pelaksanaan, di mana sesuatu inisiatif tidak hanya diberi kepada orang Melayu tetapi kepada mereka yang betul-betul layak yang dapat memanfaatkan peluang disediakan sebaik mungkin.Kerajaan yang sedia perlu menghormati perkara-perkara termaktub dalam perlembagaan Malaysia.”

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]