Rakan karib ditahan bersama dadah

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Dua lelaki ditahan bersama beberapa jenis dadah selepas polis menyerbu sebuah rumah tiga tingkat di Taman Seri Segar, Butterworth, kelmarin.


Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Roslee Chik berkata, serbuan pada jam 4.45 petang, 23 Julai lalu itu dibuat selepas polis menerima maklumat awam berhubung sindiket pengedaran dadah tersebut.


Menurutnya, kedua-dua lelaki berusia 42 dan 51 itu merupakan rakan baik dan menyewa di rumah tersebut sejak sebulan lalu.


“Kedua-duanya tidak bekerja dan menetap di rumah tersebut dengan bayaran sewa RM1,300 sebulan. Hasil serbuan, polis menjumpai empat paket heroin seberat 107 gram, tiga plastik hitam dadah ketamin 8.1 kilogram (kg) dan sebuah beg mengandungi 18 paket plastik berisi 510 gram syabu.


“Turut dijumpai, sebuah beg kertas mengandungi 400 kertas aluminium yang setiap satunya mengandungi 10 pil eramin 5, sebuah kotak berisi satu paket plastik kafein seberat 25.6kg dan bahan kimia serta peralatan memproses dadah,” katanya kepada media tadi.


Tambahnya, nilai keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah RM462,000 dan dipercayai untuk edaran tempatan.


“Dadah ini jika dijual mampu menampung lebih 2,000 penagih dadah.


“Selain dadah, kita turut menyita wang tunai RM2,500, sebuah kereta Honda Accord bernilai RM10,000, dua motosikal jenis Demak bernilai RM5,500 dan sebuah motosikal SYM bernilai RM2,280.


“Jumlah keseluruhan sitaan adalah RM20,280. Seorang daripada suspek mempunyai 12 rekod jenayah lampau melibatkan dadah dan rakannya mempunyai tiga rekod jenayah, juga melibatkan dadah,” katanya.


Roslee berkata, kedua-dua suspek direman sehingga 30 Julai ini untuk siasatan lanjut.


Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]