Rayuan elak IPG Kota Bharu ditutup ditolak

in Edisi by


KOTA BHARU – Khabar duka khususnya warga pendidik di negeri ini apabila rayuan pelbagai pihak untuk menolak keputusan menutup Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu ditolak Kerajaan Persekutuan.


Perkara itu dikongsi Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari selepas menerima jawapan bertulis daripada Menteri Pendidikan, Dr Mazlee Malik, merujuk pertanyaannya di Dewan Rakyat hari ini.


Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Pas Kelantan berkata, kerajaan terus bertegas dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 24 Mei 2017 yang bersetuju agar penukaran fungsi sembilan IPG kepada Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) diteruskan.


“Saya percaya jawapan yang diberikan oleh Menteri Pendidikan pada hari ini sangat mengecewakan warga pendidik khususnya di Kelantan.


“Semalam di dalam ucapan perbahasan titah diraja saya telah menyentuh berhubung penutupan IPG Kota Bharu ini yang saya sifatkan sangat tidak sepatutnya berlaku,” katanya.


Sebelum ini,  Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Mohd Noor turut meminta kerajaan mempertimbangkan semula menukar status institut tersebut kerana pelbagai faktor.


Ahmad Fadhli berkata, Kelantan mempunyai lebih 32,000 guru dalam perkhidmatan yang mana dari 2011 hingga 2018, seramai 20,904 guru dilatih, diberi kursus peningkatan profesionalisme.


Beliau mempersoalkan, jika fungsi IPG Kota Bharu ditukar, ke manakah guru-guru ini akan dihantar untuk menjalani kursus termasuk kos untuk mereka berkursus di IPG lain di luar Kelantan.  


“Begitu juga dengan bantuan kepakaran kepada sekolah-sekolah Orang Asli di Kelantan. Dari tahun 2010 hingga 2018 lebih 114 program bersama sekolah Orang Asli dikendalikan oleh IPG Kota Bharu.


“Tidakkah wajar untuk Kerajaan Malaysia mempertimbangkan satu-satunya IPG di Kelantan ini terus beroperasi?” soalnya.


Beliau berkata, jika hasrat menutup IPG Kota Bharu diteruskan, Kelantan akan menjadi salah satu daripada dua negeri termasuk Perlis yang tidak mempunyai IPG di bumi mereka.


“Sepatutnya kerajaan PH membuka amalan baru. Menteri Pendidikan sepatutnya melihat isu ini dengan lebih peka.


“Saya tidak tahu, masihkah pentadbiran baru negara ini dibelenggu oleh prejudis dan dendam sebagaimana pentadbiran sebelum PRU14?” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]