Royalti: Belum ada perbincangan

in Edisi by


KOTA BHARU – Kerajaan negeri mengesahkan belum mengadakan sebarang pertemuan mahupun perbincangan dengan kerajaan persekutuan melibatkan isu bayaran balik royalti minyak kepada negeri ini.


Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar berkata, pihaknya hanya maklum mengenai perkara tersebut melalui Mesyuarat Kewangan Negara dan juga kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa di persidangan Parlimen.


“Kita Cuma menunggu langkah seterusnya untuk ‘follow-up’. Setakat ini kita masih belum merancang apa-apa pertemuan dengan kerajaan persekutuan melibatkan isu tersebut,”katanya semasa di luar dewan selepas persidangan Dun Kelantan, semalam.


Kerajaan Persekutuan sebelum ini bersetuju menyalurkan royalti minyak sekurang-kurangnya 5 peratus terus kepada negeri pengeluar minyak melalui mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2018 yang dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad di Kementerian Kewangan.


Mesyuarat Majlis Kewangan Negara itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, menteri besar dan ketua menteri.


Tun Dr Mahathir melalui kenyataan terbarunya mengenai isu tersebut menjelaskan pembayaran royalti 20 peratus dibuat berdasarkan jumlah keuntungan sesebuah negeri pengeluar petroleum.


Bagaimanapun, Kerajaan Pas Kelantan tetap berpendirian mahukan kerajaan membayar lima peratus tuntutan royalti minyak berdasarkan hasil pengeluaran dan bukannya keuntungan negeri sebagaimana perjanjian dengan Petronas.

 


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]