Royalti Minyak: Terengganu minta penjelasan Azmin

in Nasional by


KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri akan mendapatkan penjelasan lebih lanjut daripada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung isu royalti minyak kepada 20 peratus yang tidak dapat dilaksanakan segera kerana memerlukan masa untuk pindaan akta berkaitan.


Menteri Besar, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar berharap perkara itu dapat diselesaikan dengan segera kerana ada sedikit tersasar daripada apa yang dijangkakan sebelum ini.


Menurutnya, penyelesaian segera perlu dibuat kerana banyak program yang ingin dilaksanakan kerajaan negeri dan kesemuanya memberi kepentingan kepada rakyat yang turut bergantung kepada penerimaan wang royalti.


“Jika ada sebarang kelewatan dan perubahan dasar yang menyebabkan kekurangan peruntukan, itu akan memberi kesan bukan sekadar kepada kerajaan negeri tetapi yang lebih kita bimbang ialah kesan kepada rakyat.


“Jadi kita minta pertimbangan ini disegerakan dan bagi pihak kerajaan negeri Terengganu, saya juga percaya negeri-negeri lain yang menjadi pengeluar minyak, mengambil serius perkara ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai Mesyuarat kerajaan negeri, hari ini.


Ahmad Shamsuri berkata, beliau tidak mahu akibat daripada perubahan dasar yang berlaku dalam masa terdekat ini menyebabkan kekurangan peruntukan berbanding yang diterima oleh kerajaan negeri sebelum ini.


Menjelaskan pertemuan pertama bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Jun lalu, Ahmad Shamsuri berkata, hasil pertemuan dengan Tun adalah keputusan kepada perkara asas iaitu royalti akan diberi kepada negeri secara terus.


“Itu adalah suatu peningkatan kerana sebelum ini diberi kepada agensi persekutuan dan dinamakan dana khas, jadi pada peringkat pertama itu kita sangat menyambut baik kerana itulah yang kita mahu, tinggal lagi keputusan pada pertemuan itu ialah berapakah jumlahnya samada 5 atau 20 peratus ataupun bagaimana, ini tidak dibuat keputusan.


“Cuma sekarang ini adalah bila timbul isu baru bahawa disebut samada sepintas lalu atau tidak pada parlimen hari itu bahawa 20 peratus daripada keuntungan bersih, ianya memberi kesan yang besar dan akan ada perbezaan dari segi jumlah berbanding 5 peratus daripada pengeluaran,” katanya.


Tambahnya, itu yang dibimbangkan dan beliau bagi pihak kerajaan negeri Terengganu dan rakan-rakan daripada negeri lain amat bimbang tentang perkara ini kerana tidak mahu akibat daripada perbahasan itu, jumlah mengecil berbanding sebelum ini melainkan ia bertambah.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]