RUU355 kini tanggungjawab kerajaan

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU355) sudah dibentangkan dan ia sepatutnya menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberi maklum balas.


Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tanggungjawab itu kini terletak di bahu kerajaan untuk meneruskannya di Parlimen.


Katanya, pimpinan PH juga telah menegaskan hak membawa rang undang-undang tersebut sepatutnya dibawa oleh kerajaan.


“Kami telah bawa dalam sesi lalu dan pimpinan PH khasnya dari Amanah menegaskan hak untuk membawa rang undang-undang tersebut sepatutnya di bawa oleh kerajaan.


“Hari ini, tanggungjawab terletak di atas bahu kerajaan,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Sinar Harian.


[ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan negeri tunggu perkembangan]


[ARTIKEL BERKAITAN: RUU 355: Pas salah saluran]


Semalam, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya akan berbincang tentang RUU355 dengan kerajaan pusat bagi membolehkan ia kembali dibahaskan di Parlimen.


Sebelum ini, RUU355 dikatakan tidak tersenarai dalam senarai aturan mesyuarat Parlimen kali ini untuk persidangan pertama selepas PRU14, Mei lalu.


Hari ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh menegaskan kerajaan tidak mempunyai kuasa dalam menentukan usul yang akan dibahaskan dan Pas sepatutnya membawa notis usul RUU355 kepada Dewan Rakyat untuk dibahaskan kerana ia terletak pada bidang kuasa Parlimen.


Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari ketika ditemui berkata, Pas mengambil pendekatan tunggu dan lihat, serta pada masa sama turut mengajukan persoalan berkaitan perkara itu di Parlimen.


Katanya, beliau bersama ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hasan sudah mengemukakan soalan tentang RUU355, namun masih belum dijawab menteri.


“RUU355 telah melepasi bacaan pertama. Ia merupakan usaha persendirian yang dibawa oleh ahli Parlimen Marang dalam Parlimen ke-13.


“Sekarang ia sudah menjadi bidang tugas kerajaan untuk membawanya ke bacaan berikutnya di Dewan Rakyat,” katanya.


Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berharap supaya RUU355 dapat dibahaskan di peringkat seterusnya supaya ia boleh dilaksanakan.


“Setakat ini, belum ada perkembangan terkini kerana PH baru saja bentuk kerajaan dan mereka masih baru dalam pentadbiran bersama pegawai kerajaan dan kita beri mereka masa untuk susun gerak kerja,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]