Terapi kerohanian rawat penagih dadah

in Edisi Terengganu by


HULU TERENGGANU -Tempat melakukan pemujaan kubur, batu dan meminta nombor ekor. Itu antara tohmaan pernah dilemparkan masyarakat sewaktu awal kewujudan  Madrasah Khairul Insan (MKI) terletak di seberang sungai, Jenagur di sini.


Namun, setelah 21 tahun beroperasi MKI kini menjadi antara lokasi pilihan bagi mereka yang pernah terjerumus ke kancah dadah untuk kembali ke landasan dan menjadi insan lebih baik di dunia serta akhirat.


Tanpa sebarang jampi serapah, pengambilan ubat-ubatan dan mandi daun-daun kayu, MKI telah berjaya pulihkan ramai penghuni dengan hanya terapkan terapi kerohanian seperti zikir serta ikatan kasih sayang sesama mereka.


Proses pemulihan secara peringkat


Pengerusi MKI Jenagur, Mohd Ariff Yong berkata syarat utama bagi menjadi penghuni MKI ialah keinginan bersungguh-sungguh untuk berubah setelah tersilap laluan.


“Kita menerima sesiapa sahaja yang ingin tinggalkan dunia kegelapan. Asalkan mereka lelaki, beragama Islam serta benar-benar tekad ikhlas untuk berubah dan duduk di sini adalah secara percuma.


“Bagi fasa pertama pemulihan mereka ditempatkan di sebelah tanah besar terlebih dahulu dalam tempoh tertentu antara dua hingga empat bulan untuk pemantauan sejauhmana keinginan mereka itu.


“Mereka di sini perlu jadikan zikir sebagai amalan harian, amal 10 surah dalam Muqaddam serta perlu ingati dan hafal 99 nama ALLAH SWT. Seterusnya baharulah di bawa ke penempatan di seberang sungai.


“Proses pemulihan di sini masih lagi diteruskan amalan sama tetapi jadual harian mereka lebih padat. Selain solat fardhu berjemaah, kehidupan seharian diisi aktiviti kerohanian seperti zikir, tasbih dan majlis ilmu,” katanya.


Tambah beliau, mereka yang telah pulih berperanan sebagai mentor kepada penghuni baharu dan individu punyai kemahiran seperti bertukang akan dibawa keluar bagi memberikan khidmat kepada masyarakat.


Terap elemen kasih sayang dan kekeluargaan


Menyentuh mengenai kos operasi MKI, Mohd Ariff atau lebih dikenali Abah memaklumkan secara dasarnya ia mencecah RM20,000 sebulan namun dapat dijimatkan kerana kemuafakatan serta semangat tolong- menolong.


“Walaupun penghuni di sini datang dari pelbagai negeri tetapi apabila di MKI ini mereka di sini sebagai satu keluarga. Makan minum sekadar apa yang ada secara bersama.


“Dari aspek kewangan, selain sumbangan Maidam dan pihak-pihak tertentu sumber juga diperolehi daripada keluarga penghuni. Kita tidak letakkan jumlah nilaian sebaliknya atas keikhlasan serta kemampuan masing-masing.


“Selain itu, bekas-bekas penghuni yang telah pulih juga tidak ketinggalan untuk membantu  samaada sumbangan barangan atau kewangan bagi pastikan kesinambungan usaha untuk tolong pulihkan penghuni MKI.


“Ikatan kekeluargaan tidak terhenti setakat mereka keluar dari MKI sebaliknya setiap malam Sabtu, semua akan berkumpul di sini bagi hidupkan Malam Melayu Sejati dengan berbusana Melayu lengkap,” ujarnya.


Kata Abah lagi, ada dalam kalangan penghuni yang sudah pulih terus memilih tinggal di MKI dan sehingga kini juga lebih kurang 60 individu telah dijemput ILLAHI disemadikan di situ dan kebanyakkannya adalah atas permintaan ketika hayat mereka.

Setelah 21 tahun beroperasi MKI kini menjadi lokasi pilihan bagi mereka yang pernah terjerumus ke kancah dadah untuk kembali ke landasan.


Dulu ditomah kini dapat kunjungan pelbagai pihak


Bercerita mengenai persepsi masyarakat, Abah yang juga Yang Dipertua Persatuan Insan Prihatin Darul Iman (Hati) mengakui ketika awal dahulu pelbagai persepsi negatif dilemparkan dan pihaknya hanya mampu pekakkan telinga.


“Kita pernah ditomah sebagai tempat melakukan pemujaan kubur, batu dan meminta nombor ekor berikutan di kawasan madrasah ini terdapat makam seorang ulamak iaitu Sharif Muhamad Al-Baghdadi.


“Selepas dapat pengiktirafan daripada jabatan berkaitan dan pihak NGO, persepsi sedemikian sedikit demi sedikit berubah ke arah positif sehingga hari ini telah dikunjungi pelbagai pihak seperti hari ini(semalam).


“Buat masa ini seramai 222 penghuni berusia 13 hingga 60 tahun menetap di madrasah ini dan dipantau pihak berkaitan seperti Pejabat Agama Daerah Hulu Terengganu serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Hulu Terengganu.


“Kawasan madrasah terbahagi kepada lima lokasi iaitu mandi angin, gua, pertanian, masjid dan madrasah yang menempatkan individu bagi menjalani proses pemulihan, katanya.


Sementara itu, semalam MKI menerima kunjungan daripada pelbagai pihak termasuk Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Ustaz Maliaman Kassim serta Persatuan Homestay Negeri Terengganu.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]