Ternakan korban mencukupi di Terengganu

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Sebanyak 5,090  ternakan hidup disediakan bagi negeri Terengganu sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini sekali gus menjadikan bekalan itu mencukupi untuk rakyat negeri ini melaksanakan ibadah korban.


Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, jumlah itu mencukupi dan ia selari dengan pengumuman Menteri Pertanian dan Asas Tani, Salahuddin Ayub yang menyatakan ternakan hidup mencukupi bagi ibadah korban di dalam negara dan tidak terkecuali Terengganu.


Menurutnya, pihak jabatan telah mengambil inisiatif mendapatkan ternakan hidup dari beberapa negeri pantai timur sejak dua bulan kebelakangan ini bagi memastikan bekalan di Terengganu mencukupi.


“Untuk menampung bekalan ternakan korban, dalam masa dua bulan iaitu bermula Jun dan Julai ini sebanyak 1,046 lembu dan 710 kambing antaranya dari Kelantan dan Pahang telah dibawa masuk ke sini (Terengganu).


“Kami dah periksa dengan penternak di ladang seluruh negeri dan dimaklumkan sekarang ini lebih 5,000 lembu dan kambing yang disediakan khas untuk musim haji pada tahun ini,” katanya.


Sementara itu, penternak Ladang Kaprima Hulu Seladang, Setiu, Muhammad Hariz Nordin berkata, lebih kurang 100 ekor kambing di ladang berkenaan disediakan untuk ibadah korban pada tahun ini.


Katanya, dia memang mengehadkan jumlah kambing untuk korban setiap tahun antara 80 hingga 120 ekor sahaja sejak lapan tahun lalu.


“Harga yang ditawarkan juga antara RM800 hingga RM1,200 bagi seekor kambing dan ia sudah pun ditempah awal oleh pelanggan untuk menunaikan korban pada tahun ini,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]