TH nafi penginapan bakal jemaah ditarik

in Nasional by


SEPANG – Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan dakwaan sesetengah pihak menyatakan mereka menarik kemudahan penginapan percuma bagi jemaah transit melebihi satu hari seperti disediakan pada musim-musim haji terdahulu.


Pengurus Besar Kanan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman menjelaskan, tiada keperluan bagi bakal jemaah haji transit menginap di kompleks TH susulan pelbagai penambahbaikan yang telah dilakukan.


Menurutnya bermula musim haji tahun ini, beberapa penambahbaikan telah dilakukan TH termasuk menyediakan penerbangan ‘direct transit’ dari tujuh stesen berlepas lain.


“Bakal jemaah daripada stesen lain tidak perlu keluar dari KLIA ke Kompleks TH Sepang kerana penerbangan mereka akan diteruskan dengan penerbangan sewa khas ke Tanah Suci.


“Ia sekaligus memendekkan tempoh menunggu jemaah dari stesen luar untuk berlepas ke tanah suci,”katanya dalam satu sidang media di sebuah hotel di sini, hari ini.


Menjelaskan mengenai perkara itu, Syed Saleh berkata, pada musim haji terdahulu kemudahan penginapan percuma disediakan di Kompleks TH Kelana Jaya dari stesen lain atas kekangan penerbangan atau jadual penerbangan transit aqal melebihi satu hari sebelum mereka bertolak ke tanah suci.


“Bakal-bakal jemaah haji tahun ini yang memilih untuk berlepas dari KLIA hanya perlu melapor diri di Kompleks TH Sepang empat jam sebelum masa penerbangan. Tiada keperluan untuk menyediakan bilik penginapan,”ujarnya.


Bagaimanapun katanya, jika waris dan bakal jemaah yang memilih untuk datang awal dari waktu dan tarikh lapor diri, mereka perlu membuat persediaan tempat tinggal sendiri.


Sementara itu selain Kompleks TH Sepang, tujuh stesen berlepas lain yang disediakan TH di seluruh negara adalah di Alor Setar, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Kota Kinabalu dan Kuching.


Pada masa sama, Syed Saleh menafikan satu posting tular di media sosial yang mendakwa jemaah haji terpaksa menjadi gelandangan kononnya disebabkan kerajaan menarik balik kemudahan.


Syed Saleh menjelaskan dakwaan itu tidak benar, jika senario itu memang berlaku setiap kali musim haji kerana bakal-bakal jemaah diiringi waris dan ahli keluarga yang menghantar mereka ke kompleks TH sebelum berlepas.


“Yang ramai itu waris, saudara mara. Bukan jemaah. Tidak timbul masalah gelandangan. Itulah senario musim haji di mana sanak saudara berkumpul untuk menghantar ahli keluarga mereka menunaikan haji,”katanya.


Tambahnya, TH sentiasa berusaha menyediakan dan menambahkan baik perkhidmatan kepada pada jemaah haji semasa di tanah air mahupun ketika di tanah suci.


Kelmarin, beberapa gambar tular di media-media sosial memaparkan suasana padat di Kompleks TH Sepang dengan dakwaan bakal jemaah haji terpaksa menjadi gelandangan kerana kerajaan tidak menyediakan penginapan percuma.


[ARTIKEL BERKAITAN: TH dituntut kembalikan penginapan percuma]


 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]