Tiga lelaki diburu tipu pencairan dana asing RM4.4j

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Tiga lelaki diburu bagi membantu menyelesaikan kes penipuan pelaburan pencairan dana asing membabitkan kerugian sebanyak RM4.4 juta.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan Mohd Rawi Abdul Ghani berkata, penipuan pelaburan yang tidak wujud itu dipercayai didalangi Radzuan Othman @ Deraman, 38, beralamat di Lot Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit di sini.


Dua lagi suspek ialah Shoib Moin, 61, beralamat di Pangsapuri Tanjong Merdeka Villa, Ampang, Selangor dan Yahaya Yahir ( Ustaz Yahaya), 54, dari Kampung Sungai Ular, Kuantan, Pahang.


“Kegiatan mereka terbongkar selepas pihaknya menerima empat laporan di daerah ini, Dungun dan Kemaman.


“Kesemua mereka dipercayai terlibat dalam beberapa kes di tiga daerah di negeri ini sejak 2012,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.


Menurutnya, kesemua suspek juga dipercayai masih berada di dalam negara dan telah disenarai hitam daripada meninggalkan negara ini.


Jelasnya, pihaknya mula menerima laporan berhubung penipuan pada 2012 apabila mangsa di Cukai, Kemaman mendakwa kerugian sebanyak RM200,000 sebelum dikesan menipu seorang lagi mangsa di sini sebanyak RM900,000, dua tahun kemudian.


“Kumpulan itu kemudiannya mengaut keuntungan sebanyak RM2 juta pada 2016 di Paka, Dungun dan RM1.3 juta lagi (2017), di daerah ini.


“Modus operandi mereka ialah menghubungi atau mendekati kalangan mangsa yang dikenali bagi menceritakan perolehan berskala besar membabitkan keuntungan terhadap pelaburan yang sebenarnya tidak wujud.


“Mangsa yang berjaya dipengaruhi kemudian diminta memasukkan wang ke akaun suspek secara berperingkat namun tiada keuntungan diperoleh,” katanya.


Sehubungan itu, Mohd Rawi memohon kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan suspek bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di samping mengelak lebih ramai menjadi mangsa.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]