UEC wajar penuhi syarat MQA

in Edisi by


ALOR SETAR – Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) tidak akan membebankan mahasiswa sekiranya dibuat penambahbaikan dalam subjek Bahasa Melayu dan Sejarah serta memenuhi kehendak kerajaan.


Exco Pendidikan, Dr Salmee Said berkata, ia juga wajar memenuhi kriteria Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Kementerian Pendidikan sekiranya dilaksanakan.


“Ia pasti tidak menimbulkan masalah kepada pelajar. Yang penting, UEC hendaklah penuhi syarat dan MQA ditetapkan,” katanya, pada sidang media, selepas merasmikan Seminar Perkongsian Amalan Terbaik Penglibatan Ibu bapa dan Komuniti (PIBK), peringkat negeri, di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Kedah, semalam.


Salmee berkata ketika mengulas mengenai bantahan mahasiswa anjuran Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) yang bantah pengiktirafan UEC di ibu negara, baru-baru ini.


Mengulas pendirian Kedah berhubung pengiktirafan UEC, katanya, pihaknya sedang meneliti perkembangan isu terbabit.


“Seeloknya tunggu keputusan kementerian, ia masih dalam kajian. Benar, sudah ada beberapa negeri iktiraf UEC. Bagi Kedah, kita lihat perkembangan seterusnya,” katanya.


Mengulas status Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Abdul Halim yang kemungkinan ditutup, Salmee berkata, kedudukan IPG itu belum dimuktamadkan namun kemungkinan mengalami perubahan dari aspek operasinya.


Menurutnya, kakitangan IPG berkenaan tidak perlu khuatir kehilangan pekerjaan kerana mereka akan diserap ke bahagian lain.


Pada 2017, kerajaan terdahulu mengumumkan pada pembentangan Bajet bahawa 10 IPG akan ditukar fungsi. Difahamkan, empat IPG ditukar fungsi kepada kolej vokasional, empat kepada politeknik, satu kepada Permata Pintar serta satu lagi sebagai Pusat Latihan Jurulatih TVET.


Pertukaran itu hanya boleh diteruskan setelah kesemua bakal guru terlibat melaksanakan latihan guru sehingga Jun 2020, iaitu sehingga pelajar sedia ada tamat pengajian.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]