160 pelajar 'buang undi'

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Seramai 160 pelajar terdiri dari Ahli Kelab Malaysiaku diberi peluang memantapkan kefahaman mereka berkaitan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia dalam satu simulasi pilihan raya, semalam.


Exco Penerangan, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, peserta diberi peluang itu melalui Program Amalan Demokrasi Berparlimen dan Kembara Kelab Malaysiaku peringkat daerah Kota Setar/ Pokok Sena dan Kubang Pasu.


Beliau berkata, aktiviti dianjurkan dilihat amat baik dan mampu memberi manfaat kepada peserta kerana memberi pendedahan awal berkaitan amalan demokrasi berparlimen kepada mereka.


“Ada cadangan menurunkan had umur layak mengundi dari 21 ke 18 tahun. Jadi dengan adanya aktiviti sebegini, maka pelajar ini akan lebih memahami dan mendapat pengalaman berkaitan tatacara pemilihan pemimpin.


“Mereka akan lebih faham siapa yang mereka ingin pilih, sekali gus menunjukkan hala tuju masa depan negara melalui amalan demokrasi itu,” katanya.


Katanya, aktiviti sedemikian merupakan medium terbaik dalam memastikan generasi masa depan terutamanya anak muda masa kini memahami amalan demokrasi itu.


Terdahulu, program anjuran Pejabat Penerangan daerah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pejabat Pendidikan daerah mendapat sambutan baik daripada peserta.


Antara sekolah dari Kota Setar/ Pokok Sena terlibat, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Malik, SMK Sultanah Asma, SMK Seberang Perak, SMK Pokok Sena, SMK Sharifah Rodziah, SMK Kubang Rotan dan SMK Simpang Kuala.


Bagi daerah Kubang Pasu, sekolah terlibat adalah SMK Tanjung Pauh, SMK Jerlun, SMK Seri Indera Putra, SMK Seri Mahawangsa, SMK Ayer Hitam, SMK Hosba, SMK Permatang Bonglai, SMK Jitra, SMK Tunku Bendahara dan SMK Pulau Nyior.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]