Anak hilang selepas keluar bersama rakan

in Edisi by


MACHANG – Kehilangan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun selepas keluar ke bandar Machang di sini, sejak Jumaat lalu menimbulkan tanda tanya kepada keluarganya.


Amirul Hakimi Kamaruzaman dari Kampung Gosong, dekat sini dikatakan keluar bersama rakannya kira-kira jam 10 pagi sebelum hilang dan tidak dapat dihubungi keluarganya sehingga hari ini.


Bapanya, Kamaruzaman Zani, 46, berkata, kehilangan tersebut menjadi tanda tanya memandangkan Amirul Hakimi tidak pernah keluar rumah tanpa memaklumkan kepada keluarga terlebih dahulu.


Katanya, telefon bimbit milik anaknya itu juga tidak dapat dihubungi sejak malam kejadian.


“Sebelum keluar, dia beritahu ingin ke Machang (bandar) bersama rakannya. Biasa dia keluar tak lama, namun pada hari itu kami tunggu hingga ke petang, dia tak balik-balik dan beranggapan dia ke rumah neneknya di Kampung Baka, dekat sini.


“Biasanya kalau dia ingin ke mana-mana, dia akan maklum atau setidak-tidaknya menghantar pesanan melalui WhatsApp kepada adiknya, tapi hari tu dia hanya diam. Kami kemudian carinya di rumah ibu saya namun tiada,” katanya kepada Sinar Harian.


Kamaruzaman berkata, ketika keluar, Amirul Hakimi memakai baju T berlengan panjang berwarna hitam putih dan berseluar jeans biru serta membawa helmet.


“Pelbagai usaha telah kami lakukan untuk mencarinya. Kami bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku ke atasnya dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat boleh hubungi saya di nombor 014-7768454 atau 0111-7823941,” katanya.

 


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]