Baby Misai kesayangan keluarga

in Edisi by


TEMERLOH – ‘Baby Misai’ antara gelaran popular seorang pemuda kerdil di Kampung Padang Lalang, Temerloh.


Fizikal dan keletah lelaki berusia 39 tahun ini seperti kanak-kanak menyebabkan Rizal Abd Rashid mendapat jolokan tersebut.


Mempunyai ketinggian kira-kira 76 sentimeter dan berat kira-kira tiga kilogram, Rizal tetap lincah bergerak biarpun sekadar mengengsot dengan kedua kakinya.


Bagaimanapun, di sebalik kekurangannya, anak keempat daripada lima beradik itu tetap menjadi kesayangan dan penghibur keluarganya.


Bagi ibunya, Maheron Samat,67 anak istimewanya itu tidak pernah dianggap sebagai beban buat dirinya dan arwah suaminya, Abd Rashid Salleh.


Sebaliknya, Rizal yang juga mesra dengan panggilan Chik itu adalah anugerah terindah dan memiliki keistimewaan tersendiri.

Rizal umpama kanak-kanak yang menjadi kesayangan Maheron dan ahli keluarganya.


Menurutnya, anaknya itu ceria dan memahami situasi yang berlaku walaupun tidak dapat bertutur dan bergerak seperti insan normal lain.


“Ketika mengandungkan Rizal ,perut saya hanya sebesar bola dan mudah dilahirkan. Ketika dilahirkan dia hanya sebesar tapak tangan.


“Dan sepanjang tumbesarannya, tidak sukar menjaganya, kalau sakit pun seperti demam, selsema. Cuma ketika dia berusia 10 tahun, belakang badannya membongkok.


“Dia suka makan biskut jenama Pingpong selain makanan lain dan susu,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.


Menurutnya lagi, selain Rizal, dia turut memiliki anak istimewa iaitu anak ketiga, Ramli namun telah meninggal dunia pada tahun lalu.


“Sekarang saya hanya tinggal berdua bersama Rizal namun anak-anak dan cucu selalu datang dan membantu.


“Sebenarnya,sejak memiliki anak-anak istimewa ini,rezeki saya dan arwah suami sentiasa ada walaupun kami hanya bekerja kampung,menoreh getah,”ujarnya.


Tidak terfikir untuk meraih simpati dengan keadaan anaknya, Maheron tekad untuk menjaga Rizal sebaik mungkin.

Dengan ketinggian tidak sampai 100 sentimeter, Rizal mendapat sepenuh kasih sayang daripada Maheron dan keluarganya.


“Kadang kala memang terfikir apa nasib Rizal bila saya tiada nanti,tapi ahli keluarga dah beri jaminan untuk menjaganya.


“Memang tak sanggup serahkannya pada orang lain.Syukur kerana ahli keluarga lain pun turut fikir sama.Sebab Rizal memang kesayangan kami sekeluarga,”jelasnya.


Dalam pada itu, menceritakan rutin Rizal,Maheron memberitahu,anaknya itu suka berinteraksi dan bermain.


Ujarnya,biarpun pertuturannya tidak jelas tetapi Rizal tetap suka berkomunikasi dengan mereka sekeluarga.


“Walaupun hanya beberapa butir perkataan yang disebut tapi dia memahami apabila menerima arahan.

Rizal ceria biarpun dihimpit kekurangan fizikal


“Dan dia juga suka bermain dengan koleksi permainan yang ada tetapi paling digemari “senduk kesayangannya,”ujarnya lagi Rizal juga suka apabila dibawa keluar menaiki kereta.


Jelasnya,biarpun ada yang mencadangkan supaya membawa anaknya keluar ke kawasan tumpuan ramai meraih simpati,dia tidak terfikir untuk bertindak sebegitu.


“Dengan bantuan bulanan RM250 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM),saya gunakan sebaik mungkin untuk keperluan Rizal untuk makanan dan lampin pakai buang.


“Yang lain saya dan keluarga usaha sendiri,selagi ada kudrat selagi itu berusaha,” ujarnya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]