Bakal guru mohon diberi penempatan

in Edisi Utara by


SUNGAI PETANI – Kesemua 52 lepasan ijazah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) pengkhususan Bahasa Tamil memohon agar diberikan penempatan selepas menganggur lebih setahun lalu.


S Vasumathy, 26, dari Kulim berkata, dia bersama 21 graduan lain kemasukan sesi 2012-2013 ditawarkan mengikuti Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Tamil dengan jaminan penempatan seperti mana termaktub dalam surat tawaran.


Manakala, 30 graduan dalam kumpulan kedua kemasukan sesi 2013-2014 ditawarkan ijazah sama namun tanpa jaminan penempatan iaitu melalui pasaran terbuka.


“Kami tamat pengajian pada September 2016 dan kumpulan kedua tamat pada 2017,” katanya.


Bagaimanapun, kesemua 52 graduan masih belum ditawarkan penempatan dan kini hanya bekerja dengan status sambilan menggunakan kelayakan minimum.


“Sebelum ini saya kerja di taska dengan gaji RM800 sebulan tetapi dah berhenti akibat pelbagai faktor,” katanya.


M Malathy, 26, dari Nibong Tebal, Pulau Pinang berkata, dia terpaksa menggunakan keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) untuk menjadi kerani di sebuah kilang dengan pendapatan RM1,000 sebulan.


“Kami berharap ada penyelesaian atau tawaran kerja secepat mungkin kerana mempunyai banyak komitmen, selain tertekan akibat tiada pendapatan tetap walaupun bergelar siswazah,” katanya.


Menurutnya, ada dalam kalangan mereka telah mengikuti temuduga April lalu, namun sehingga kini masih belum ada sebarang jawapan.


Pengerusi Persatuan Guru-guru Sekolah Tamil Kedah, G Kumaran berkata, perkara itu akan dibawa ke pengetahuan Kementerian Pendidikan dalam usaha membantu bakal guru untuk diberi penempatan.


“Kita kasihankan mereka kerana ada yang kerja sambilan, ada yang tak kerja dan masih mengharapkan untuk menjadi guru di sekolah yang sepatutnya mereka mengajar,” katanya.


Hadir sama, wakil Malaysian Tamilar Kular Negeri Kedah yang turut serta memberikan sokongan.

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]