Bantah UEC bukan kerana perkauman

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) menyerahkan memorandum membantah pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) kepada ahli Parlimen Pas.


Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menerima memorandum berkenaan berkata, isu bantahan UEC ini tidak wajar dilihat dari sentimen perkauman sebaliknya harus dinilai dalam kerangka yang lebih besar iaitu polisi pendidikan negara.


“Sistem Pendidikan Negara perlu diselaras, ini bukan sentimen perkauman ini polisi pendidikan negara, kita fikir dalam kerangka besar bukan perkauman.


“Kita (Pas) akan bawa isu ni dalam Parlimen menerusi sesi perbahasan kerana UEC telah membuatkan satu sistem pendidikan yang berbeza.


“Kenyataan menteri hanya wajib kepujian Bahasa Malaysia tapi kecualikan Sejarah adalah tidak wajar kerana tidak boleh satu kementerian mempunyai dua sistem berbeza, satu negara cukup satu sistem pendidikan,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen, hari ini.


Beliau menyifatkan pengiktirafan dua sistem pendidikan berbeza ini seolah-olah membezakan kaum di Malaysia.


Selain itu, katanya dalam kandungan memorandum itu Gamis mendesak ahli Parlimen mestilah sebulat suara menolak pengiktirafan UEC ini secara rasmi sama ada di dalam perbahasan sidang Parlimen atau di media sosial kerana ianya jelas bertentangan dengan Akta Pendidikan Negara 1996.


“Ahli Parlimen mestilah memboikot mana-mana pihak atau NGO yang memberikan tekanan atau paksaan kepada kerajaan untuk mengiktiraf dan melaksanakan sistem pendidikan UEC dalam negara kerana UEC jelas bersifat memelihara kepentingan pihak tertentu sahaja dan mengundang kepada krisis polarisasi kaum,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen, hari ini


“Ahli Parlimen mestilah memastikan sistem pendidikan Negara diperkasa dan mampu menjadi platform untuk menyatukan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti yang direkodkan di dalam Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960,” katanya.


Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menambah, Gamis turut mendesak agar ahli Parlimen menggubal satu undang-undang khas atau meminda undang-undang yang berkaitan agar setiap sekolah di Malaysia sama ada di bawah kerajaan atau persendirian wajib menyediakan kelas pengajian subjek Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia yang setara dengan sukatan pelajaran kurikulum kebangsaan kepada pelajar-pelajar mereka.


“Ahli Parlimen Malaysia mestilah memastikan sistem UEC dirombak serta dikemaskini supaya selaras dengan Sistem Pendidikan Kebangsaan agar perpaduan Nasional antara kaum dalam kalangan rakyat Malaysia dapat diperkasa dari semasa ke semasa khususnya antara kaum Melayu dan Cina,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]