Blok Kolej Vokasional Tanah Merah terbakar

in Edisi by


TANAH MERAH – Perjalanan seorang guru ke masjid untuk menunaikan solat Subuh terbantut selepas terhidu bau asap dari blok bangunan Kolej Vokasional (KV) Tanah Merah di sini, awal pagi tadi.


Rosdi Mohamed, 51, yang juga guru di kolej terbabit berkata, dia segera memasuki kawasan bangunan bagi memeriksa dan meninjau punca bau asap berkenaan kira-kira jam 5.55 pagi.


Menurutnya, ketika itu kelihatan api menjulang dari tingkat atas bangunan yang turut menempatkan bengkel kosmetologi, seni reka fesysen dan pengajian awal kanak-kanak.


“Saya dan pegawal keselamatan berusaha memadam kebakaran menggunakan pemadam api tetapi tidak berjaya kerana api semakin marak sebelum membuat panggilan kecemasan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Tanah Merah.


“Kebakaran ini melibatkan bangunan berusia hampir 29 tahun dan kejadian itu berlaku ketika azan Subuh berkumandang,” katanya.


Rosdi berkata, mengikut jadual asal, bengkel itu sepatutnya digunakan bagi peperiksaan diploma kemahiran tahap empat yang dijangka berakhir hari ini.


Kerugian dianggarkan RM500,000 dan kebakaran turut memusnahkan sebahagian besar peralatan pembelajaran serta dokumen penting lain.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Hanaffi Mohd, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.10 pagi.


Menurutnya, dua jentera dari Tanah Merah dan sebuah jentera dari Machang bergegas ke lokasi.


“Setakat ini punca dan jumlah kerugian masih lagi disiasat,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]