Dakwa pembangkang pernah setuju iktiraf UEC

in Edisi by


MELAKA TENGAH – Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak bercanggah dengan objektif kerajaan untuk memperkasa bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.


Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, kurikulum UEC juga menitikberatkan pembelajaran dan peperiksaan Bahasa Malaysia.


Menurutnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menyatakan bahawa pengiktirafan UEC adalah dengan meletakkan syarat wajib, iaitu memiliki kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


“Saya menyokong penuh tuntutan memperkasa bahasa Malaysia, dan menyeru Kementerian Pendidikan untuk terus mengolah strategi-strategi untuk memperkasakan Bahasa Kebangsaan kita, termasuklah melalui UEC.


“Namun, pengiktirafan UEC juga tidak bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK). Ini kerana DPK mengiktiraf kepelbagaian jenis sekolah, termasuk sekolah-sekolah vernakular dan sekolah-sekolah swasta dan kepelbagaian bahasa, termasuk Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, dan bahasa-bahasa ibunda.


“Penguasaan bahasa-bahasa bukan saling eksklusif dan oleh itu UEC wajar dilihat sebagai suatu kekuatan dan kebanggaan yang dimiliki oleh masyarkat di negara ini.


“Dari segi kurikulum, pelajar-pelajar UEC turut mempelajari mata pelajaran sejarah mengandungi 57 peratus sejarah Malaysia dan 43 peratus sejarah Dunia,” katanya.


Poay Tiong turut mendakwa, pihak pembangkang juga pernah bersetuju dan mengiktiraf UEC.


“Isu pengiktirafan UEC tidak harus dipolitikkan, kerana ia pernah dipersetujui pihak pembangkang. Contohnya, pihak BN dan MCA turut menyatakan dalam manifesto PRU14 mereka bahawa UEC akan diiktiraf.


“Pada PRU13 juga, parti Pas juga bersetuju dengan pengiktirafan UEC kerana ia terkandung dalam manifesto Buku Jingga oleh Pakatan Rakyat malah di Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS) telahpun mengiktiraf UEC di sistem perkhidmatan Sarawak,” katanya.


Ujarnya, isu UEC telah menjadi isu hangat kerana kerajaan lepas yang diterajui oleh BN dan MCA mempolitikkannya, berdolak-dalih, dan gagal mengambil langkah untuk mengiktiraf UEC.


“Pihak BN dan MCA gagal menyelesaikan isu ini walaupun telah memerintah melebihi 60 tahun. Sekarang setelah PH menjadi kerajaan, MCA mendesak untuk mempercepatkan pengiktirafan UEC, manakala Umno menolak pengiktirafan UEC dan mempolitikkan isu ini.


“Kini sudah tiba masanya untuk kerajaan PH menunjukkan kepada BN dan MCA bagaimana untuk menyelesaikan isu ini.


Saya menyeru kepada kerajaan agar mengambil langkah yang selaras dengan manifesto kita untuk mengiktiraf UEC,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]